KUALA LUMPUR – Satu daripada lima kluster Covid-19 hari ini merupakan kluster import yang melibatkan kru kapal kargo yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru pada 6 Mac 2021.
Kluster berkenaan adalah Kluster Pona.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster import ini melibatkan daerah Johor Bahru.
Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Mac 2021 hasil saringan sebelum ke luar negara.
“Kapal kargo ini mempunyai sejarah perjalanan dari Surabaya, Indonesia. Sehingga 10 Mac 2021, sejumlah 25 individu telah disaring, yang mana lapan kes dikesan positif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini juga mengesan dua kluster melibatkan tempat kerja.
Kluster berkenaan adalah Kluster Parit Penyengat Darat di Johor dan Kluster Dagang Permai di Selangor.
Manakala dua lagi kluster komuniti di Selangor dan Johor turut dikesan iaitu Kluster Sungai Puteh dan Kluster Melor.
Dalam pada itu, sebanyak 13 kluster yang diumumkan tamat hari ini, iaitu Kluster Dialisis
Batu, Kluster Intan Mas, Kluster Kupang, Kluster Tapak Bina Jalan Nipah, Kluster Sri Gading, Kluster Jalan Ithnin.
Kluster Padas Damit, Kluster Kampung Samin, Kluster Seri Bayu, Kluster Industri Grisek, Kluster Jalan Suasa, Kluster Kampung Lukut, dan Kluster Jalan Satu KKIP. -MalaysiaGazette