KUALA LUMPUR – Pertembungan antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) secara tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin dapat dielakkan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional (MN) malam ini.
“Apa yang kita bincang tadi, kita sedang usahakan untuk tidak ada tiga penjuru.
“Mesyuarat tadi memang ada berbincang untuk memperkukuhkan MN.
“Yang penting MN, agenda dia kita dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Sebelum ini, UMNO mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan PPBM dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan kedudukan parti itu dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, isu pertembungan tiga parti Melayu Islam itu hanyalah perkara sampingan yang dibincangkan dalam mesyuarat bulanan gagasan itu.
“Tetapi motif kita ia adalah untuk memperkukuhkan MN, semuanya berjalan dengan baik.
“Malah kita sudah tetapkan jadual mesyuarat berikutnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette