Home Pendapat Pengeluaran i-Sinar: Sekarang atau kemudian?

Pengeluaran i-Sinar: Sekarang atau kemudian?

Seorang pencarum melihat syarat permohonan i-Sinar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

SEJAK dilanda wabak COVID-19, pelbagai musibah menghantui seluruh populasi dunia.
Ramai yang kehilangan punca rezeki, secara langsung menambahkan beban kehidupan
dan hutang piutang. Bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia serta memenuhi
keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19, kerajaan
Malaysia telah memperkenalkan skim i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP).

Pengeluaran Akaun 1 KWSP dijangka mampu meringankan beban kewangan
kepada lebih 600,000 ahli terjejas selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan
serta punca pendapatan. KWSP adalah simpanan hari tua pencarum, maka terdapat
keperluan untuk mengimbangi antara bantuan untuk menghadapi cabaran masa kini dengan kepentingan persaraan untuk masa depan.

Permohonan pengeluaran wang simpanan ini yang dibenarkan sejak 21 Disember
2020 yang lalu telah rata-rata mewujudkan rasa tidak puas hati bagi sesetengah pihak
disebabkan proses yang agak sukar dalam mendapatkan jumlah wang yang ingin
dikeluarkan. Walau bagaimanapun, dari sudut pandangan KWSP sendiri, proses
pengesahan juga perlu diteliti dan tidak boleh diambil mudah bagi mengelakkan sistem
tersebut dimanipulasi oleh pihak yang mengambil kesempatan terhadap perkara ini.

Menurut News Straits Times, proses pengesahan pengeluaran dibahagikan kepada dua
kategori. Kategori pertama melibatkan ahli yang tiada caruman untuk dua bulan berturut-
turut, suri rumah dan mereka yang telah lama tidak membuat caruman. Manakala kategori kedua melibatkan ahli yang terjejas pendapatan yang memerlukan dokumen sokongan sebagai bukti. Disebabkan kedudukan setiap ahli itu adalah unik, maka KWSP juga perlu berhati-hati dalam meluluskan permohonan.

Persoalannya, adakah pengeluaran wang melalui skim i-Sinar ini wajar? Soal selidik
telah dilakukan ke atas seramai 271 responden secara rawak bagi mendapatkan
maklum balas mereka terhadap pengeluaran wang di bawah program i-Sinar ini. 86.3% daripada mereka terdiri dari golongan B40, manakala 11.8% dari golongan M40 dan selebihnya 1.9% dari golongan T20. Perlu ditekankan juga bahawa 80.4% dari responden mengalami kejejasan pendapatan dan pekerjaan susulan penularan wabak COVID-19 bermula dari tahun 2020.

Apabila ditanya mengenai tujuan pengeluaran wang dari i-Sinar, sebanyak 63.82%
menyatakan bahawa ia digunakan untuk kelangsungan hidup semasa seperti membeli
barang-barang dapur dan kelengkapan persekolahan anak-anak. Manakala 30.48%
menyatakan bahawa wang tersebut digunakan untuk membayar hutang serta bil-bil
tertunggak seperti bil api, bil air, sewa rumah, serta pinjaman bank. 5.69% selebihnya
menyatakan pengeluaran wang adalah bertujuan untuk dilaburkan di tempat lain. Dari segi kelancaran permohonan i-Sinar, 37.7% menyatakan bahawa proses tersebut sangat
lancar, manakala 45.7% menyatakan ianya lancar.

Terdapat juga 16.6% yang mengalami kepincangan dalam aplikasi mereka seperti kegagalan memuat naik dokumen sokongan, kesukaran memenuhi kriteria-kriteria yang digariskan pada peringkat awal pengenalan skim i-Sinar, proses yang memakan masa, tarikh pengkreditan dan kelulusan yang berubah-ubah, perubahan pada jumlah pengeluaran, kesalahan pada pelarasan jumlah pengeluaran oleh ahli, dan kekeliruan pada status permohonan. Namun 93.3% mengakui kemesraan penggunaan aplikasi permohonan i-Sinar.

Menurut soal selidik yang dijalankan, sebanyak 27.7% membuat pengeluaran kurang daripada RM2,000, diikuti dengan 15.3% yang membuat pengeluaran di antara RM2,001 ke RM 5,000. Manakala, sebanyak 3.2% (peratusan terendah) membuat pengeluaran di antara RM 5,001 ke RM 7,000, diikuti dengan peratusan tertinggi iaitu 42.2% yang membuat pengeluaran antara RM7,001 ke RM 10,000. Peratusan ketiga tertinggi adalah sebanyak 11.6% yang membuat pengeluaran melebihi RM 10,000.

Apabila ditanya mengenai kewajaran mereka mengeluarkan wang dari KWSP, 96.4% menyatakan tindakan mereka wajar kerana ramai yang didapati kehilangan punca rezeki, maka wang tersebut digunakan sebaiknya bagi meneruskan kehidupan serta membayar hutang piutang.

KWSP memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara secara
langsung dan tidak langsung. Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada KWSP kerana
mewujudkan skim i-Sinar untuk membenarkan pencarum mengeluarkan duit dari akaun 1. Program ini bukan sahaja disasarkan kepada mereka yang hilang pendapatan tetapi juga golongan yang pendapatan bulanan mereka terjejas akibat pemotongan gaji, elaun,
komisyen, serta pengurangan jumlah hari bekerja atau bekerja lebih masa. Ramai didapati tidak boleh hidup dengan hanya bergantung kepada gaji asas sahaja.

Dengan ini, skim i-Sinar memberi sinar harapan kepada golongan yang pendapatannya telah terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Perlu diingatkan juga, walaupun pengeluaran wang persaraan ini dibenarkan, setiap individu perlu menilai keadaan masing-masing dalam memastikan wang yang dikeluarkan digunakan untuk perkara asas yang diperlukan untuk mengelakkan pembaziran. Pada masa yang sama, mereka perlu juga sentiasa peka terhadap keperluan persaraan pada masa hadapan agar dapat menikmati kelangsungan hidup tanpa menjejaskan keadaan diri dan keluarga.

 

Dr. Shahrina Ismail &
Dr. Sharifah Fairuz Syed Mohamad
FST, USIM