Home Utama Sebanyak 11 daerah Semenanjung kembali jadi zon hijau

Sebanyak 11 daerah Semenanjung kembali jadi zon hijau

Empat negeri di Semenanjung yang sebelum ini mempunyai banyak zon merah akibat penularan Covid-19 kini semakin menunjukkan perubahan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Empat negeri di Semenanjung yang sebelum ini mempunyai banyak zon merah akibat penularan Covid-19 kini semakin menunjukkan perubahan.

Ini apabila sebanyak 11 daerah sudah dikategorikan sebagai zon bebas Covid-19.

Menurut Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, keempat-empat zon di Kedah kini dikategorikan zon hijau iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Langkawi dan Yan.

Tiga daerah di Terengganu juga kembali menjadi zon hijau iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu sementara dua zon hijau dikesan di Perak iaitu di Hulu Perak dan Kampar serta Raub dan Cameron Highlands di Pahang.

Sabah turut menunjukkan satu daerah hijau iaitu di Tongod dan 10 zon kuning serta sembilan zon jingga.

Dalam pada itu, Pulau Pinang masih dikategorikan negeri zon merah sepenuhnya apabila lima daerah di negeri itu mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 40 kes.

Ia melibatkan Seberang Perai Utara dengan 157 kes, Timur Laut dengan 259 kes, Barat Daya sebanyak 549 kes dan Seberang Perai Selatan dengan 253 kes.

Di Selangor, satu zon kuning dicatatkan semalam iaitu Sabak Bernam yang mencatatkan enam kes hari ini.

Sementara lapan lagi daerah masih merah iaitu, Hulu Langat (2,480), Petaling (3,647), Gombak (953), Klang (853), Kuala Selangor (221), Kuala Langat (700), Sepang (326) dan Hulu Selangor (209).

Kuala Lumpur juga masih mencatatkan zon merah sepenuhnya apabila empat mukimnya masih mencatatkan kes melebihi 40 kes iaitu Lembah Pantai (456), Titiwangsa (470), Kepong (554) dan Cheras (307) kes.

Manakala Putrajaya dalam zon jingga dengan 34 kes sementara Labuan mencatatkan sebanyak 15 kes positif Covid-19.

Negeri Johor masih mencatatkan tujuh zon merah iaitu Johor Bahru (1,466 kes), Kluang (65), Batu Pahat (763), Muar (593), Kulai (296), Pontian (298) dan Kota Tinggi dengan 217 kes.

Dua daerah di negeri itu dikategori zon kuning iaitu Segamat dengan 10 kes dan Mersing dengan enam kes sementara Tangkak zon jingga dengan 24 kes.

Negeri Sembilan pula mencatatkan lima zon kuning dengan Rembau (5), Tampin (3), Jelebu (7), Jempol (7) dan Kuala Pilah (3) kes.

Bagaimanapun, Port Dickson masih di zon jingga dengan 23 kes.

Tiga daerah di Melaka masing-masing mencatatkan satu zon merah (Melaka Tengah dengan 43 kes), zon jingga (Alor Gajah dengan 27 kes) dan zon kuning (Jasin dengan 16 kes).

Dalam pada itu, Perak masih mencatatkan lima zon merah iaitu Kinta (469), Hilir Perak (682), Manjung (258), Larut, Matang Selama (86), dan Batang Padang (64).

Kelantan turut mencatatkan perkembangan yang baik apabila enam daerahnya dikategorikan zon kuning iaitu Pasir Puteh (2), Tumpat (12), Gua Musang (1), Tanah Merah (7), Jeli (2), dan daerah Machang 9 kes.

Zon merah di negeri itu pula direkodkan tiga iaitu Kota Bharu dengan 220 kes, Kuala Krai dengan 50 kes dan Bachok dengan 93 kes.

Sarawak terus mencatatkan zon hijau terbanyak dengan sebelas kawasan itu Limbang, Simunjan, Lawas, Pakan, Tebedu, Daro, Lubuk Antu, Matu, Kabong, Tanjung Manis, dan Telang Usa.

Sibu masih mencatatkan jumlah kes tertinggi di negara itu dengan 1,022 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah itu dan Bintulu kedua dengan 345 kes. – MalaysiaGazette