Home Nasional Pesalah SOP berulang berisiko dikompaun RM10,000 – KPN

Pesalah SOP berulang berisiko dikompaun RM10,000 – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) berulang berisiko dikompaun RM10,000 tanpa kmpromi.

Penguatkuasaan kompaun bermula hari ini itu bagi memberi pengajaran kepada mereka yang degil seterusnya mengawal penularan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, selain pematuhan SOP, orang ramai dinasihatkan jangan ghairah mahu merentas negeri tanpa sebarang sebab.

Ia susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi selepas dimasyurkan oeh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa billah Shah.

“Saya rayu orang tak gempar, takut pada undang-undang meskipun hukuman gantung jangan takut, arahan larang orang buat pergerakan rentasi negeri senang dipatuhi, ada kaviet di situ.

“Bukan 100 peratus tak boleh pergi kecuali ada alasan dibenarkan contoh hal kecemasan, kematian, perubatan dan suami isteri terpisah jauh.

“Kawal nafsu kita hendak balik kampung beramai-ramai, cuti sedikit nak balik juga atau bawa keluarga dari satu tempat ke satu tempat sepertimana pernah didedahkan Kementerian Kesihatan wujudnya kluster rentas sempadan negeri

“Tetapi sebagaimana saya sarankan sebelum ini sasaran nilai tinggi adalah mereka yang pesalah degil dan kesalahan berulang nama mereka sudah masuk dalam sistem data kompaun PDRM dan inilah puak yang patut denda tinggi,” katanya dalam sidang media khas penguatkuasaan Ordinan Darurat kompaun RM10,000 hari ini.

Tambah Abdul Hamid, keputusan menaikkan nilai kompaun itu bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

Kompaun itu masih bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetapkan nilai sebenar yang harus dijelaskan pesalah dengan notis kompaun yang dikeluarkan polis.

Abdul Hamid berkata, individu dikompaun boleh merayu PKD yang akan pertimbangkan jumlah bayarannya.

“Namun pesalah boleh membuat permohonan rayuan ia bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetapkan jumlah sebenar nilai kompaun,” katanya.

Justeru jelasnya polis akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem yang dibangunkan dan akan dikongsi kepada Kementerian Kesihatan.

“Individu yang melakukan kesalahan berulang ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 bergantung kepada jenis kesalahan tegar SOP yang dilakukan.

“Namun ia bukan pengakhiran, PKD yang akan tentukan jika gagal membayar akan dibawa ke mahkamah untuk dibicara,”katanya.

Disamping itu beliau menjelaskan di sebalik pengumuman harian statistik jangkitan Covid yang menyaksikan penurunan sejak akhir-akhir ini, pada bila-bila masa sahaja keadaan akan berubah menjadi lebih buruk jika SOP tidak dipatuhi.

“Untuk kepentingan umum, kita perlu patuhi peraturan Covid-19 dan mana tahu orang degil melintas negeri dari PKPB ke negeri PKPP misalnya rupa-rupanya dia pembawa jangkitan dan wujudkan kluster baharu, maka kita syor dialah kenakan kompaun tinggi RM10,000,” katanya.- MalaysiaGazette