Home Seni Hidup Hujan ribut, sila berteduh demi keselamatan – KPN

Hujan ribut, sila berteduh demi keselamatan – KPN

Di sebalik ketegasan melaksanakan tugas kawalan keselamatan sekatan jalan raya (SJR) - anggota polis dinasihatkan menjaga keselamatan diri masing-masing.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Di sebalik ketegasan melaksanakan tugas kawalan keselamatan sekatan jalan raya (SJR) – anggota polis dinasihatkan menjaga keselamatan diri masing-masing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyedari cuaca tidak menentu ketika ini, pihaknya telah membekalkan baju hujan menerusi Jabatan Logistik Bukit Aman kepada anggotanya yang bertugas di seluruh negara mulai hari ini.

“Kita faham disebalik tanggungjawab melaksanakan SJR mengawal pergerakan rakyat merentas negeri dan daerah memerangi Covid-19, cuaca tidak menentu serba sedikit meletakkan diri mereka dalam bahaya.

“Cuaca tak menentu ketika ini iaitu panas terik luar biasa dan juga hujan ribut serta petir yang menakutkan secara tiba tiba sehingga ada yang khemah terbang dan rosak sehingga anggota tercedera.

“Sila cari tempat berteduh jika petir dan hujan lebat..itu arahan saya demi keselanatan…mungkin ada risiko jadi mangsa petir,” katanya dalam sidang media hari ini.

Abdul Hamid turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang tampil menghulurkan makanan dan pelbagai bekalan penting kepada anggotanya di lapangan di atas jalan raya.

Namun di sebalik kesemua sumbangan itu, beliau juga menasihati rakyat supaya tidak mengambil kesempatan mengingkari peraturan dan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam memerangi Covid-19.

“Malah anggota polis di SJR sekiranya keadaan cuaca baik tanpa hujan dan petir tidak perlu meninggalkan lapangan sebaliknya boleh meneruskan pemeriksaan kenderaan tanpa membiarkan orang berlalu begitu sahaja,” ujarnya.- MalaysiaGazette