KUALA LUMPUR – Dakwaan pihak tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) kononnya Polis Diraja Malaysia diperalatkan sebagai alat menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak benar sama sekali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas itu dan secara tegas menyatakan sebarang tindak tanduk polis tiada kaitan dengan kerajaan memerintah sekaligus menepis dakwaan PDRM menjadi pak turut kerajaan PN.
“Siapa sahaja pun boleh buat tekaan, kritikan, andaian dan insinuate anything just to potray (perli apa saja untuk menggambarkan) PDRM sebagai satu alat untuk nak sokong kerajaan.
“Saya ulangi, saya tegas dengan pendirian saya bahawa apa juga kegiatan yang diambil oleh pihak saya, tiada kaitan dengan politik.
“Sebelum ini ada menyatakan PDRM telah ambil tindakan terhadap tokoh-tokoh pembangkang, baik zaman dulu, baik zaman sekarang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai dakwaan PH yang PN menggunakan agensi kerajaan termasuk PDRM sebagai senjata politik.
Abdul Hamid berkata, sebelum ini ada yang mengatakan PDRM mengambil tindakan kepada tokoh-tokoh politik dengan memanggil individu itu tampil ke balai untuk dirakam keterangan.
“Apabila laporan polis diterima dari awam ke atas seseorang individu itu mengenai sebarang salahlaku kita dapati ada unsur kesalahan di situ dan kita buka kertas siasatan panggil mereka dan dirakam kenyataan dalam suasana profesional.
“Saya tidak membenarkan sebarang unsur ugutan dan tawaran oleh pegawai penyiasat saya ke atas mereka sebaliknya kami menawarkan kesediaan merakam kenyataan mengikut kesesuaian masa dan tempat pemimpin atau tokoh politik yang disiasat polis dan bukan menakutkan sesiapa paksa datang ke balai.
“Kita juga merakam kenyataan seseorang tokoh jika beliau sendiri menyatakan masa lapang dan lokasi yang selesai untuknya dan pegawai kami akan ke sana untuk melaksanakan tugas,” katanya lagi.
Menurut Abdul Hamid, ia penting dan lebih elok apabila siasatan dilengkapkan tanpa melengahkan masa supaya segera dipanjangkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Cuma saya nasihati mereka yang berpolitik supaya bertanggungjawablah sedikit jangan isu remeh dipolitikkkan dan polis dituduh tak sensitif pulak,” tegasnya.- MalaysiaGazette