Home Nasional Kerjasama PERKESO, UM tingkat ekosistem keselamatan sosial

Kerjasama PERKESO, UM tingkat ekosistem keselamatan sosial

Universiti Malaya (UM) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama selama lima tahun denga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama selama lima tahun dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Perjanjian kerjasama berkenaan bertujuan menetapkan rancangan dan tindakan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyokong objektif pembangunan PERKESO.

Dalam masa yang sama, ia merupakan antara sumbangan positif kepada pembangunan ekosistem keselamatan sosial di negara ini.

Kerjasama tersebut dimeterai antara Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dengan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Mohamed Azman menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai tepat pada masanya terutama dalam keadaan negara masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

“Covid-19 telah memberi kesan kepada kesihatan, sosio ekonomi dan krisis kemanusiaan dengan skala yang belum pernah dilihat terjadi sebelum ini.

“Dalam krisis ini, pentadbiran keselamatan sosial yang cekap adalah kunci dalam menguruskan peningkatan pengangguran dan kehidupan masyarakat yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Tambah Mohamed Azman, pembangunan dalam perlindungan sosial hanya akan dapat dilakukan dengan kerjasama yang erat antara pemain industri yang berkaitan dalam negara.

“Walaupun bertujuan untuk tujuan makro, jangan lupa  matlamat perlindungan sosial yang paling penting terletak pada tahap terperinci iaitu memastikan tidak ada pihak yang tertinggal,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kerjasama yang dijalinkan kedua-dua pihak berkenaan, Prof. Mohd Hamdi pula berkata, sokongan yang diberikan PERKESO untuk tempoh lima tahun akan dapat mempercepatkan promosi peningkatan keupayaan SWRC.

Selain itu, ia terus memberikan bukti input dasar untuk Majlis Perlindungan Sosial (MySPC).

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

“Peningkatan keupayaan untuk kakitangan PERKESO merangkumi kursus latihan jangka pendek dan jangka panjang bagi sijil profesional penyelidikan dan penglibatan masyarakat dalam isu-isu secara langsung berkaitan dengan kepentingan PERKESO dan perlindungan sosial secara umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama Perkeso itu yang disiarkan menerusi Facebook rasmi SWRC hari ini.

Untuk rekod, perjanjian perkongsian strategik antara UM dan Perkeso merupakan lanjutan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada tahun 2015.

Ia merangkumi pengurusan intervensi dan pemulihan pekerja yang mengalami kecederaan di bawah PERKESO melalui Program Program Return-to-Work (RTW).

Dalam masa yang sama, SWRC juga telah dilantik sebagai agensi pensijilan mewakili PERKESO dalam menguruskan Pensijilan Certified Disability Management Professional (CDMP) dan Certified Return-to-Work Coordinator (CRTWC), Profesional Certifications of the International Disability Management Standards Council (IDMSC).

Menerusi perjanjian tersebut, UM dan PERKESO berharap dapat memperluaskan lagi program-program berkenaan ke negara lain di rantau ini.

Selain itu, satu sesi webinar bertajuk Mengurangkan Kesan Covid-19 terhadap Pekerjaan: Fasa yang Berbeza dan Apa Seterusnya? turut diadakan selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara kedua-dua pihak berkenaan.- MalaysiaGazette