Home Sukan Edinson Cavani tak selesa tinggal di England, dakwa bapanya

Edinson Cavani tak selesa tinggal di England, dakwa bapanya

Cavani menyatakan kebanggaan menyarung jersi man United dan beraksi di Old Trafford.

LONDON – Edinson Cavani tidak selesa duduk di England dan berpotensi pulang ke tanahairnya Amerika Selatan, dakwa bapanya.

Bintang Uruguay yang kini beraksi untuk Manchester United menyertai Old Trafford dengan kontrak selama setahun secara percuma Oktober tahun lalu.

Dalam 25 penampilan bersama The Red Devils setakat ini, El Matador berjaya menjaringkan tujuh gol musim ini.

“Ada 60 peratus peluang Edinson akan kembali ke Amerika Selatan,” dakwa bapanya, Luis Cavani hari ini.

Bagaimanapun, pada malam Selasa lalu, Cavani dalam status terbaharu di Instagram peribadinya memuat naik mesej yang berbunyi:” Im proud to wear this shirt” (bangga menyarung kemeja ini) merujuk kepada jersi Man United.

Kontrak Cavani mempunyai opsyen tambahan namun pengurus pasukan Ole Gunnar Solskjaer menjelaskan, setakat ini tiada sebarang perbincangan dimulakan ke arah itu.

“Saya tak boleh komen mengenai apa luahan dia (Cavani), saya hanya boleh katakan kita gembira dengan Edinson.

“Dia mungkin berhasrat beraksi lebih kerap tetapi apa yang penting adalah untuk memastikan dia diturunkan lebih kerap sehingga akhir musim ini sebelum membincangkan kontrak di Theatre of Dreams,” kata Solskjaer.- MalaysiaGazette