SINGAPURA – Harga minyak mentah susut dalam dagangan hari ini tetapi masih berlegar sekitar AS$70 setong kerana pengurangan bekalan oleh pengeluar-pengeluar minyak utama mengekang lebihan bekelan.
Kontrak hadapan minyak mentah Brent untuk Mei merosot AS$0.17 atau 0.2%, kepada AS$ 69.46 setong pada 0109 GMT sementara minyak mentah West Texas untuk April diniagakan pada AS$ 65.79 setong, turun AS$0.23 atau 0.4%.
Brent bulan depan berada di landasan tepat untuk mencatat kenaikan mingguan untuk minggu kelapan setelah menyentuh paras tertinggi 13 bulan pada hari Isnin lalu berikutan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi.
Sentimen juga didorong oleh keputusan Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+ pada awal bulan ini untuk menghentikan pemotongan pengeluaran pada bulan April.
Pelabur telah menyuntik dana dalam komoditi seperti minyak dengan harapan pemulihan permintaan pada separuh kedua tahun ini ketika ekonomi global berkembang susulan program vaksinasi dilaksanakan secara meluas bagi membendung pandemik Covid-19 dan membolehkan lebih banyak perjalanan musim panas ini dilakukan.
“Dengan andaian bahawa program vaksinasi berjaya, kami menjangkakan permintaan ke atas petrol meningkat pada musim panas ini, semasa musim memandu di Amerika Syarikat dan Eropah,” kata penganalisis FGE dalam nota penyelidikannya.
Penganalisis RBC Capital pula menyatakan fundaamental petrol pada musim panas adalah yang paling tinggi hampir satu dekad.
“Kami fikir ini akan menyokong seluruh kompleks minyak musim panas ini dan seterusnya.”
Amerika Syarikat, pengguna minyak terbesar di dunia, menyaksikan penurunan besar pada stok petrol minggu lalu disebabkan ribut musim sejuk di Texas mengganggu pengeluaran penapisan.
OPEC pula memaklumkan pemulihan permintaan minyak akan difokuskan pada separuh kedua tahun ini. – MalaysiaGazette