Home Politik Petisyen tamat darurat akan diserah kepada Agong sebelum Ramadan ini – Khalid...

Petisyen tamat darurat akan diserah kepada Agong sebelum Ramadan ini – Khalid Samad

Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abdul Samad serta yang lain menunjukkan plakad #TamatDarurat pada sidang media memperkenalkan ahli-ahli Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat dijangka menyerahkan petisyen dan memoradum memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menarik balik pengisytiharan Ordinan Darurat selewat-lewatnya sebelum Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, inisiatif ini diharapkan dapat mengembalikan fungsi Parlimen di samping mengurangkan kesan negatif kepada ekonomi serta imej negara di mata masyarakat dunia.

“Kempen untuk merayu kepada Agong perlu dirancakkan supaya darurat ini perlu ditamatkan kerana implikasinya cukup serius.

“Usaha mengumpul tandatangan telah dibuat. Setakat ini kita telah memperolehi beberapa ratus tandatangan daripada individu-individu dan lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO).

“Dalam mengumpulkan tandatangan, kita diminta menyediakan laman sesawang untuk kempen ini dan memudahkan semua pihak yang ingin darurat ditamatkan,” katanya pada sidang media di Kampung Bharu, hari ini.

Khalid Samad

Sebelum ini, YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat yang berkuat kuasa 11 Januari sehingga 1 Ogos ini.

Titah Tuanku itu selepas memberi perkenan kepada cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Perdana Menterinya, Tan Sri Muhyiddin dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Khalid juga menegaskan, usaha itu bagi mengembalikan fungsi dan kuasa Parlimen seperti sedia kala khususnya sebagai pembuat dasar dan undang-undang negara.

“Baru-baru ini apabila digazetkan undang-undang berita palsu, tanpa perbahasan di Parlimen.

“Dengan adanya kuasa darurat, undang-undang boleh diluluskan tanpa perbahasan di Parlimen dan undang-undang berita palsu mempunyai implikasi cukup serius,” katanya.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu mahu mengumpul seberapa banyak petisyen dan memastikan suara rakyat didengari YDPA sebagai payung negara.

“Sebagai payung negara, YDPA perlu dimaklumkan akan bantahan rakyat jelata terhadap tindakan Perdana Menteri dalam soal ini,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut merayu kepada setiap rakyat Malaysia yang mencintai negara ini untuk menandatangani petisyen ini melalui laman sesawang tamatdarurat.com demi memulih politik, ekonomi dan sosial negara.

“Tak perlu khuatir terhadap keselamatan diri dan kemungkinan adanya tindak balas mana-mana pihak kerana kita hanya menyuarakan pandangan kita mengikut hak dan lunas undang – undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette