KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pemimpin kerajaan dan UMNO dalam usaha untuk menamatkan darurat.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahukan Proklamasi Darurat itu ditamatkan melalui saluran yang betul.
“Kita terbuka dengan mana-mana ahli politik daripada parti mana sekalipun, sebenarnya anggota Warisan pun dalam jawatankuasa kita.
“Daripada Barisan Nasional (BN), GPS, UMNO, Pas, kalau dia sayangkan negara kita ini.
“Kalau dia rasa darurat ini memang tidak wajar diteruskan dan perlu ditamatkan dengan segera, kita alu-alukan,” katanya pada sidang di Kg Bharu, hari ini.
Terdahulu Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat akan menyerahkan petisyen dan memoradum memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menarik balik pengisytiharan Ordinan Darurat selewat-lewatnya sebelum Ramadan tahun ini.
Menurutnya, inisiatif ini diharapkan dapat mengembalikan fungsi Parlimen di samping mengurangkan kesan negatif kepada ekonomi serta imej negara di mata masyarakat dunia.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat yang berkuat kuasa 11 Januari sehingga 1 Ogos ini.
Titah Tuanku itu selepas memberi perkenan kepada cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Perdana Menterinya, Tan Sri Muhyiddin dalam usaha menangani pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette