KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di seluruh negara dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat, khususnya pada waktu petang dan awal malam, bermula 16 Mac ini hingga pertengahan Mei, berikutan fasa peralihan monsun.
Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata, keadaan cuaca itu yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula pada 11 November lepas, dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maklumat terkini cuaca boleh disemak melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca, laman media sosial rasmi atau talian hotline 1-300-22-1638. – MalaysiaGazette