Home Nasional Bekas speaker DUN Johor, Mohd Ali Hassan meninggal dunia

Bekas speaker DUN Johor, Mohd Ali Hassan meninggal dunia

Mohamed Khaled Nordin (kanan) menziarahi jenazah Mohd Ali Hassan di kediamannya di Taman Nong Chik, Johor Bahru, pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor (2004-2013), Datuk Mohd. Ali Hassan, 79, meninggal dunia pada 3 pagi ini.

Jenazah allahyarham kini berada di kediamannya di Taman Nong Chik di sini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini pada 10 pagi ini.

Mohd. Ali yang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor 1435 Hijrah, meninggalkan isteri, Datin Misbah Sakat, 67, empat orang anak, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan serta 11 orang cucu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham dan menyifatkan pemergian Mohd. Ali
satu kehilangan yang besar.

“Pemergian Allahyarham yang pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Tebrau serta Exco Kerajaan Johor itu merupakan satu kehilangan besar kepada negeri kerana beliau adalah tokoh politik yang berwibawa dan banyak berjasa kepada Negeri Johor.

“Beliau juga banyak menyumbang khidmat bakti serta pemikiran khusus dalam pembangunan Islam di Johor sehingga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor 1435 Hijrah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dari Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihinya. – MalaysiaGazette.