KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mewartakan satu ordinan baharu berkuatkuasa hari ini khusus untuk memerangi aktiviti penghasilan dan penyebaran berita tidak benar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ordinan itu dikenali Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.
Jelas Setiausaha Agung Pas itu lagi, ordinan berkenaan hanya mengambil kira dua aspek iaitu berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat.
“Jika mana-amana kesalahan di bawah ordinan ini dilakukan oleh mana-mana orang, walauapa pun kerakyatan atau kewarganegaraannya, di mana-mana tempat di luar Malaysia, dia boleh diuruskan berkenaan dengan kesalahan itu seolah-olah kesalahan itu telah dilakukan di mana-mana tempat di dalam Malaysia,” katanya sidang media Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Dalam Perkara 4 (1), kata Takiyuddin, ordinan tersebut mewartakan mana-mana penghasilan berita tidak benar sehingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebih RM100,000 atau denda tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tambah Takiyuddin, ia termasuk mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan, atau menyebarkan berita tidak benar, atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.
Ordinan setebal 34 muka surat itu turut memuatkan bukan warga negara turut boleh dituduh melakukan sebarang kesalahan di bawah ordinan ini dengan menghadapi hukuman sama seperti warganegara.
Dalam Perkara 5 ordinan berkenaan, mana-mana individu yang dikesan menyalurkan bantuan kewangan sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi membantu proses penghasilan berita tidak benar, juga boleh dikenakan pertuduhan.
Malah pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, atau hukuman penjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Sesiapa yang didapati bersalah di bawah ordinan ini, mereka boleh ditangkap dan kuasa menangkap diberikan kepada mana-mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa,” katanya.
Sebelum ini, PN mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuatkuasa mulai 11 Januari lalu.
Ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette
Penyebaran berita palsu termasuk lafaz usolli, tahlilan arwah, maulid, mengutamakan yasinan dll sebagai ajaran syariat atau sunnah yang Salaf tak pernah buat Datuk Pak Lebai tak berkopiah ooii!!