Home Nasional Tak pertikai mahkamah tapi JAKIM kena beri penjelasan – Rani Kulup

Tak pertikai mahkamah tapi JAKIM kena beri penjelasan – Rani Kulup

Abdul Rani Kulup. foto AFIQ RAZALI.

KUALA LUMPUR – Gabungan NGO Melayu Islam hari ini menggesa pihak berkuasa terutama Kementerian Dalam Negeri dan agensi agama Islam melihat semula keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggunaan nama Allah dalam kalangan bukan Islam.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, walaupun pihaknya tidak mempertikaikan keputusan mahkamah namun isu itu boleh menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Kita buat laporan polis ini bukan hendak mempertikaikan keputusan mahkamah ataupun hakim yang membuat keputusan itu, kita terima.

“Tapi kita buat laporan polis ini demi ketenangan, kemakmuran, kestabilan dan perpaduan Rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dalam permohonannya, Jill Ireland antara lain memohon perisytiharan adalah hak Perlembagaan untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Kristian sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis agama Islam semua negeri tampil memberikan penjelasan mengenai keputusan itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

“Kami hanya nak menarik perhatian JAKIM, majlis agama Islam dan PDRM melihat isu ini semula.

“Agamawan perlu mententeramkan rakyat kerana keputusan mahkamah ini akan menjadi perkara yang sangat sensitif, boleh menjadikan rusuhan, kacau-bilau dan porak-peranda negara.

“Perkara ini boleh berlaku jika tidak ditangani dengan baik oleh pemimpin agama dan juga kerajaan hari ini,” tegasnya.

Abdul Rani turut menggesa kerajaan meneliti keputusan itu dan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi memastikan kalimah Allah tidak disalahgunakan oleh bukan Islam untuk tujuan mengelirukan akidah umat Islam.

“Kita juga akan hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPN) merayu Seri Paduka campur tangan isu ini.

“Tiada lagi pihak yang ada kuasa untuk semak semula keputusan ini melainkan Istana Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mahkamah ala pancasila indon bisa toleransi pelbagai kaum dan agama macam adik-beradik dalam keluarga besar Malaysia dong.

Comments are closed.