Home Nasional Covid-19: 1,575 kes baharu, 3 kematian

Covid-19: 1,575 kes baharu, 3 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,575 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus itu mencecah 320,939 kes dengan 17,074 kes aktif di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 1,568 kes adalah penularan tempatan dengan 1,269 kes atau 80.9 peratus melibatkan warga negara dan 299 atau 19.1 peratus adalah warga asing.

Beliau berkata, baki tujuh jangkitan baharu adalah kes import membabitkan seorang rakyat Malaysia dan enam warga asing.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 751 kes atau 47.7 peratus. Daripada jumlah ini, sebanyak 694 kes (92.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 173 kes (11.0 peratus) dan Johor sebanyak 135 kes (8.6 peratus).

“Sebanyak 69 kes atau 4.4 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Persiaran Wawasan (26 kes), Kluster Telok Mas (19 kes), Kluster Tembok Tapah (12 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (enam kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (empat kes) dan Kluster Tembok Taiping sebanyak dua kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Nor Hisham menambah, seramai 147 pesakit pula sedang dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) dengan 67 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing satuĀ  kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Sabah membabitkan dua warganegara dan seorang warga asing.

“Ia membawa kepada jumlah kumulatif 1,203 kes atau 0.37 peratus hingga kini,” katanya. – MalaysiaGazette