Home Nasional Polis tahan tiga individu disyaki culik pembantu kedai

Polis tahan tiga individu disyaki culik pembantu kedai

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. foto ISKANDAR HAMIDI, 24 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki menculik dan mengurung seorang pemuda.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, seorang lelaki membuat laporan polis pada 7 Mac lalu tentang kehilangan pembantu kedainya.

Katanya, pengadu menyatakan bahawa pembantu kedainya yang berusia 25 tahun itu telah keluar untuk menghantar tiga buah telefon bimbit jenis Apple 12 Pro Max kepada seorang pembeli lelaki di Plaza Sungai Besi, Cheras.

“Pembeli bersetuju untuk membeli tiga telefon bimbit tersebut dengan harga RM17,000.

“Namun pengadu berasa khuatir dan bimbang disebabkan sehingga lewat malam, pembantu kedai masih tidak pulang ke kedai dan tidak dapat dihubungi.

“Pengadu bersama bapa kepada pembantu kedainya keluar mencari mangsa di kawasan yang dinyatakan tempat penghantaran telefon bimbit tersebut di Plaza Sungai Besi namun hanya menjumpai motosikal milik pembantu kedainya ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Mokhsein, bapa mangsa turut membuat laporan polis berkaitan kehilangan anaknya .

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi pada jam 11 malam 11 Mac lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan tiga suspek yang disyaki menculik dan mengurung mangsa di Melaka.

Salah seorang daripada tiga suspek yang berusia antara 21 hingga 37 tahun yang ditahan di Melaka itu adalah penganggur manakala dua lagi bekerja sebagai Juruteknik dan pemandu e-hailing, Grab.

“Ketiga-tiga suspek telah ditahan dan dibawa balik ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut, tambah beliau.

Mohamed Mokhsein berkata, ketiga-tiga suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Bilik Gerakan IPD Cheras di talian 03-92845050/5051. – MalaysiaGazette