KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah mengabaikan negeri-negeri yang dipimpin oleh parti pembangkang kerana prihatin terhadap rakyat.
Namun, pembangkang tidak pernah menceritakan keadaan sebenar sebaliknya sering mengemukakan isu yang dikitar semula termasuk menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor yang diperintah oleh pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah menuduh kerajaan pusat mengabaikan Kedah sedangkan ia tidak benar sama sekali.
Menurut setiap tahun, kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk setiap negeri dalam Malaysia, termasuk negeri pembangkang.
Pemberian dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaran jalanraya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus, dan lain-lain.
Malah, jumlah pemberian ini meningkat setiap tahun.
Katanya, pada tahun 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri sebanyak RM6.74 bilion.
Dari tahun 2011 hingga 2015, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion, termasuk RM378.85 juta peruntukan disebabkan kekurangan akaun mengurus.
Pulau Pinang menerima RM950.44 juta untuk tempoh yang sama manakala Selangor mendapat RM3.63 bilion termasuk pemberian khas sebanyak RM25.81 juta setiap tahun.
Jumlah ini tidak termasuk projek Kerajaan Persekutuan yang bernilai berbilion-bilion ringgit di negeri-negeri tersebut seperti pembinaan sekolah, hospital, jalanraya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan lain-lain lagi.
“Kerajaan sedih pembangkang tidak menceritakan perkara sebenar, malah menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri pembangkang.
“Saya ingin menyarankan kepada pemimpin pembangkang agar tidak menuduh kerajaan tanpa bukti,” katanya menerusi blog beliau. – MalaysiaGazette