Home Politik Apa peranan Ronnie dalam Taman Peringatan Nirwana?

Apa peranan Ronnie dalam Taman Peringatan Nirwana?

Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Cina, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tan Chee Chong (tengah) bersama dua ahli jawatankuasanya menunjukkan kenyatan media berkenaan kepentingan Ronnie Liew yang merupakan bekas Exco Selangor di dalam NIRWANA pada sidang media di Taman Peringatan Nirwana, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Taman Peringatan Nirwana diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan campur tangan bekas Exco Selangor, Ronnie Liew dalam pentadbiran pusat pengurusan kematian orang Cina itu.

Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Cina, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tan Chee Chong berkata, apa kepentingan Ronnie sehingga diberi sebuah kereta mewah oleh Taman Peringatan Nirwana.

“Kami mendesak pihak Taman Peringatan Nirwana untuk menjawab apa kepentingan Ronnie Liew. Kenapa dia diberikan kereta mewah Toyota Vellfire?

“Adakah Taman Peringatan Nirwana memperoleh sebarang keistimewaan dari Kerajaan Negeri Selangor sewaktu Ronnie menjadi Exco? Kami ingin memohon penjelasan,” katanya kepada pemberita di pekarangan ibu pejabat Taman Peringatan Nirwana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Chong juga mendakwa, sumber dalamannya turut memberitahu, Ronnie berperanan membuat tuntutan bagi semua perbelanjaan Taman Peringatan Nirwana kepada kerajaan negeri khususnya berkaitan urusan tanah.

“Bagaimana Ronnie Liew boleh mendapat kemewahan dan keistimewaan yang tidak masuk akal walaupun dia hanya sebagai bekas exco,” katanya.

Ketika ditanya tentang kedudukan Ronnie dalam Taman Peringatan Nirwana, Chee Chong berkata, menurut sumbernya, bekas Exco Selangor itu sudah meletakkan jawatan.

“Lepas orang beritahu saya Ronnie jadi penasihat Taman Peringatan Nirwana, dia terus letak jawatan tapi sekarang pun dia sudah hidup mewah.

“Ronnie letak jawatan dua tahun lepas. Kita cuma mahu menjelasan lepas jadi Exco Selangor, dia boleh dilantik sebagai penasihat dalam badan itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.