Home Nasional Sekumpulan 30 nelayan berdepan detik cemas bot hampir karam

Sekumpulan 30 nelayan berdepan detik cemas bot hampir karam

Sebuah bot nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki hampir karam di hadapan Resort World Langkawi.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 30 nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki hampir karam di hadapan Resort World Langkawi hari ini.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, bot tersebut terlanggar objek pada kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Singa Besar, Langkawi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut dikendalikan 30 kru termasuk tekong berusia lingkungan 25 hingga 60 tahun dan kesemuanya warganegara tempatan.

Sebaik menerima laporan dari Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi, kapal maritim KM Tenggol telah dihantar ke lokasi kejadian, katanya.

“Bot nelayan tempatan Kelas A bernombor pendaftaran KHF 1399 (Bot Bilis) bersama dua buah bot yang lain dalam perjalanan ke laut bagi melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Namun bot terbabit, telah terlanggar objek yang dipercayai batu lalu terkandas dan menyebabkan bot tersebut hampir karam di kawasan Pulau Singa Besar, Langkawi.

“Sehubungan itu, pemilik bot, Lee Ching Cheong telah menghubungi MRSC Langkawi bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa telah diselamatkan bot nelayan tempatan dan APMM Kedah, Perlis

Semua mangsa diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada di sekitar tempat kejadian sebelum dipindahkan ke KM Tenggol.

Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan.

Zawawi berkata, bot kayu berukuran 22.79 meter panjang dan 7.11 meter lebar itu dimiliki oleh syarikat Langkawi Marine Products Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Bukit Malut, Langkawi.

Proses menyelamatkan bot bermula dengan usaha menaikan pukat dan memindahkan peralatan menangkap ikan ke bot nelayan tempatan yang lain.

Setibanya di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, semua mangsa diserahkan kepada majikan.

Dalam perkembangan lain, pemilik bot dilaporkan dalam usaha mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan serta menaikkan semula bot yang hampir karam melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Zawawi mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB). – MalaysiaGazette