KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menangani pandemik Covid-19 antara faktor utama Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengambil keputusan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, Muhyiddin dilihat kurang berpolitik sebaliknya kuat bekerja berbanding Pakatan Harapan (PH) yang acap kali bercakap soal calon Perdana Menteri dalam kalangan pembangkang.
“Selepas Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ke-8 sampai sekarang, apa yang telah dilakukan, beliau tak cakap banyak, beliau cuma bekerja sehabis baik pastikan rakyat mendapat manfaat dan jaga rakyat seperti vaksin Covid-19.
“Saya tak nampak dekat PH sampai hari ini masih bercakap siapa akan jadi Perdana Menteri.
“Kita boleh lihat dua perbezaan pemimpin di negara kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bercakap dia mahu jadi Perdana Menteri dan dapat sokongan,” katanya pada sidang media di hari ini.
Dominic juga tidak menafikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor menjadi pengukur kepada keupayaan Gerakan sama ada bergerak secara bersendirian atau bersama gagasan.
“Kita dilihat kepada yang mana satu gabungan yang mampu tunaikan janji dan kerja, ini realiti yang kita kena hadapi.
“Selepas PRK Tg Piai, kita buat keputusan dalam jawatankuasa pusat kerja (CWC) dan kita mesti bersama satu gabungan untuk menghadapi PRU15 akan datang.
“Kita setuju prestasi Tan Sri Muhyiddin yang berjaya lawan Covid-19,” katanya.
Katanya lagi, pergolakan dalam PH khususnya perebutan jawatan Perdana Menteri yang tiada kesudahannya tidak meyakinkan Gerakan untuk bersama gabungan politik dalam PRU15.
“Sampai sekarang kita tak nampak (hala tuju). Rakyat lebih tahu siapa yang demi rakyat, siapa demi kuasa.
“Kita nampak prestasi Tan Sri Muhyiddin dan perjanjian beliau setanding dengan ideologi bagi Gerakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette