Home Nasional PKPD Penjara Tapah, kuarters Batang Padang dilanjutkan

PKPD Penjara Tapah, kuarters Batang Padang dilanjutkan

Ismail Sabri Yaakob targeted domestic travel bubble tourism Langkawi
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan telah melaksanakan PKPD di kawasan tersebut pada awal Mac ini.

Ia dijadualkan tamat pada 15 Mac ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 556 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara itu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 16 Mac sehingga 29 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu lagi perkembangan sama, Ismail Sabri menegaskan PKPD yang dilaksanakan di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak akan ditamatkan esok.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan itu yang dijadualkan tamat pada esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 619 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 389 kes telah dilaporkan.

“KKM juga mengesahkan tiada kes baru COVID-19 direkodkan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak pada esok seperti yang dijadualkan,” katanya.- MalaysiaGazette