COLOMBO – Sri Lanka akan mengharamkan pemakaian burqa dan menutup lebih 1,000 sekolah agama Islam sebagai langkah terbaharu “kawalan keselamatan” di negara yang majoritinya Buddha.
Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera dalam satu sidang media memaklumkan, beliau telah menandatangani surat bagi mendapatkan kelulusaan kabinet untuk mengharamkan pemakaian burqa atau kain penutup seluruh wajah wanita atas alasan keselamatan.
“Pada zaman dahulu wanita dan gadis Islam tidak pernah memakai burqa. Inilah adalah petunjuk kepada penghayatan ekstrem agama sejak kebelakangan ini.
“Pastinya kami akan mengharamkannya,” katanya.
Pemakaian burqa pernah diharamkan sementara pada tahun 2019 selepas insiden pengeboman gereja dan hotel oleh militan Islam yang telah mengorbankan lebih 250 nyawa.
Selain itu, Weerasekera berkata, kerajaan juga merancang untuk mengharamkan lebih seribu madrasah Islam yang katanya menjejaskan dasar pendidikan negara.- MalaysiaGazette