Home Pendapat Islam mengangkat tinggi maruah wanita melalui perkahwinan

Islam mengangkat tinggi maruah wanita melalui perkahwinan

Gambar hiasan
WAKTU kecil dahulu seringkali kedengaran lagu-lagu yang melibatkan wanita. Antara yang selalu saya dengar dan lihat di kaca televisyen ialah lagu ‘Wanita’ nyanyian Salamiah Hasan. Cara penyampaian lagunya sungguh bersemangat sampai saya boleh terpegun seketika. Kadang-kadang saya cuba memahami apa yang hendak disampaikan, mengapa begitu hebatnya nilai seorang wanita ini?

Masuk sekolah menengah, saya menonton ulang tayang cerita P Ramlee bertajuk ‘Ibu’ yang sebenarnya saya pernah menontonnya ketika usia sekolah rendah. Dalam cerita itu Seniman P Ramlee menyanyikan lagu ibu dan memuji ibunya sehingga timbul iri hati daripada si isteri. Kedua-duanya antara lagu yang menjentik hati saya tentang kehebatan wanita. Semuanya sebelum saya mengenali dunia nasyid dengan meluas.

Apabila memasuki alam sekolah menengah, saya bersekolah agama di Negeri Sembilan, barulah sedikit demi sedikit saya mendengar lagu yang berunsur islamik melibatkan wanita dendangan Hijjaz, Inteam, Devotees, Saujana dan lain-lain. Setelah bertambah umur dan Allah rezekikan saya untuk ke Mesir, saya mula mendengar lagu-lagu Nasyid Arab dan Inggeris daripada Maher Zain, Sami Yusuf, Raef dan Native Deen mengenai wanita. Timbul persoalan, hebatkah wanita?

Suatu ketika dulu pada zaman jahiliah, wanita pernah dinafikan haknya, disisihkan keinginannya, malah dianggap bagaikan sampah. Kelahirannya hanya memberi calar kepada keluarga. Ketika itu perkahwinan untuk wanita hanya seperti menukar baju. Ada empat jenis perkahwinan pada ketika itu dan hanya satu sahaja yang diiktiraf oleh Islam, iaitu yang kita guna pakai sekarang ini. Tiga yang lain caranya amat kotor sekali.

Pertama, seorang suami yang menyuruh isterinya yang suci daripada haid supaya bersetuju bersetubuh dengan lelaki yang dipilih suaminya. Kemudian si suami tidak akan menyetubuhi isterinya sehingga si isteri tersebut menghamilkan benih lelaki yang pernah mendatangi isterinya tadi. Cara ini digunakan untuk memperoleh anak daripada keturunan yang mulia. Nikah ini disebut Nikah Istibdha’ (الاستبضاع).

Kedua, seorang wanita akan ditiduri oleh beberapa orang lelaki yang tidak lebih daripada sepuluh orang sehingga dia hamil. Anak yang lahir nanti akan dilihat daripada rupanya. Sekiranya mirip dengan seseorang maka dialah bapa kepada anak itu dan si lelaki tidak boleh menolak.

Ketiga, sekumpulan lelaki yang ramai akan mendatangi wanita yang tidak menghalang sesiapa untuk menyetubuhinya. Wanita ini akan meletakkan bendera pada pintunya sebagai tanda yang dia boleh disetubuhi. Jika dia hamil, maka anak itu akan dinisbahkan kepada lelaki yang mirip dengannya. Sesiapa yang telah dipilih untuk menjadi bapa kepada anak tersebut tidak boleh menolak.

Setelah itu, Islam datang mengangkat martabat wanita. Ketiga-tiga cara perkahwinan tersebut telah dihapuskan kerana menzalimi wanita. Maruah wanita diangkat setinggi-tingginya! Perkahwinan yang mirip kepada seks bebas dimansuhkan demi menjaga kehormatan wanita dan seks bebas itu haram.

Bersikap warak dan meninggalkan yang haram tidak merugikan umat Islam malah amat menguntungkan kerana setiap yang haram banyak mudharatnya. Allah telah menjelaskan kepada kita dalam firman-Nya dalam Surah Al-A’raf ayat 157:

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.”

Kisah- kisah wanita hebat pada zaman dahulu telah membuktikan bahawa wanita mampu berjaya tanpa melibatkan pengorbanan maruah. Saidatina Khadijah contoh usahawan yang unggul, Saidatina Aishah hebat dalam ilmu fiqh wanita, Saidatina Fatimah, Nusaibah, Safiyah, Asiah, Sarah, Hajar, Asma, Khaulah, Zinnirah, Fatimah Al-Fihri, Ijliya Al-Astrulabi dan ramai lagi.

Hari ini merupakan hari bersejarah buat semua wanita di seluruh dunia. Marilah kita sama-sama memperingati setiap nilai yang telah Allah letakkan untuk para wanita. Martabat kita telah diangkat, sebarang penindasan Allah telah beri kita peta untuk kita baca dan ikut laluan rahmat-Nya. Hanya tinggal mencari si penunjuk jalan supaya kita tidak sesat dalam memahami peta yang diberi.

Wanita yang matang dan cerdik tidak akan menjerumuskan dirinya kepada nafsu yang membinasakan. Diri ini hanya pinjaman yang mesti disayangi, dihargai dan diberi penjagaan yang terbaik di mata Allah serta bebas daripada perkara-perkara maksiat yang merugikan.

Wanita bangkit mendepani cabaran, Selamat Hari Wanita!

Dewi Farah Ruhaida, Ketua Wanita ISMA Nilai