KAJANG – Sungai-sungai yang jarang dikunjungi atau dilawati oleh orang ramai berpotensi menjadi lokasi pencemaran.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Zaini Ujang, kes-kes pencemaran sungai sering berlaku ketika waktu hujung minggu dan di kawasan yang tersembunyi.
“Sungai ini ibarat manusia kalau kita tidak jenguk atau lawat selalu ia akan ditinggalkan kemudian menjadi tempat yang tidak indah dan individu tidak bertanggungjawab ambil kesempatan untuk mencemarkannya.
“Jadi kalau kawasan itu kita sering lalu-lalang, misalnya 10,000 orang lalu di kawasan tersebut kalau ada bau tercemar atau sampah pasti ada orang yang akan maklumkan kepada pihak berkuasa atau pun Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk ambil tindakan segera.
“Ini kerana pencemaran ini biasa berlaku pada hujung minggu di tempat-tempat tersembunyi, mungkin ada lori datang dan terus curahkan sisa toksik tetapi kalau sentiasa ada orang di kawasan tersebut tidak ada yang berani lakukan perbuatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pencemaran sungai di negara ini termasuk Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang dikatakan kembali tercemar dengan tompokan minyak berbau busuk.
Terdahulu Zaini bersama lebih 100 penduduk sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda menjalankan aktiviti gotong-royong dengan mengutip sampah-sarap di kawasan tebing dan dalam Sungai Air Hitam di sini hari ini bersempena Hari Tindakan Sungai Antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir. Nor Hisham Mohd. Ghazali berkata, satu perancangan holistik telah dimulakan bagi membaik pulih Sungai Kim Kim yang pernah tercemar teruk dalam insiden yang berlaku pada 7 Mac 2019.
“Di peringkat KASA, langkah pertama adalah menceriakan tebing sungai dan membersihkan sungai tersebut dengan harapan dapat membawa lebih ramai masyarakat ke kawasan itu untuk menghargai persekitaran selain sebagai sumber air.
“Minggu hadapan juga akan diadakan kerja-kerja pembersihan sungai di situ dan pada 27 Mac bersempena Hari Air Sedunia kita akan jalankan gotong-royong perdana,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, kawalan di punca sungai merupakan elemen yang sangat penting dalam usaha pemulihan Sungai Kim Kim.
Selain itu, tambah Nor Hisham lagi, kesemua kilang-kilang di kawasan berkenaan perlu mematuhi syarat-syarat dikeluarkan JAS dalam pembuangan sisa effluen.
“Kawalan di punca ini telah lama sangat diperjuangkan kerana ia sangat penting.
“Kita juga kena pastikan bahawa tiada pembuangan haram dilakukan. Kena ada penguatkuasaan, kawalan undang-undang dan kena ada komuniti dekat dengan sungai,” katanya.
Pada 8 Mac lalu, media melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesyaki pembuangan sisa kimia lebih besar berlaku di Sungai Kim Kim berbanding insiden pencemaran sisa toksik yang berlaku di situ, dua tahun lalu. – Malaysia Gazette