Home Seni Hidup Dipertikai jadi duta pusat akademik, MK jawab SPM dapat 5A 3B

Dipertikai jadi duta pusat akademik, MK jawab SPM dapat 5A 3B

MK pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah.

KUALA LUMPUR – Tidak dapat dinafikan, apa saja yang dilakukan anggota kumpulan K-Clique bernama MK ini pasti akan meraih perhatian, tular dan sohor kini.

Aura dan penangan jejaka kelahiran Tawau, Sabah itu cukup luar biasa.

Malah MK juga sinonim dengan imej ‘bad boy’ itu berkongsi gambar yang menayangkan badan selain memakai gelang emas teruk dikecam.

Pada masa sama, setiap entri tak kira video atau gambar pegun di laman Instagram pemilik nama penuh, Muhammad Hairi Amin Hamdan ini pasti akan mendapat tanda suka dan tontonan ramai.

Baru-baru ini pelantikannya sebagai duta pusat akademik dan tuisyen PTTI Group Sdn Bhd dipertikaikan.

Ramai beranggapan jejaka kacak ini tidak layak selain kurang sesuai dengan imej yang dipaparkan seperti memakai gelang emas.

Betulkah sejak kebelakangan ini selepas memikul mandat duta PTTI dan menyertai kelas agama bersama kumpulan tabligh di Jerantut, Pahang pada bulan lalu, MK sudah berubah?

Jadi MK takkan pakai lagi gelang emas ya?

“Tentang hal itu (tidak mahu memakai gelang emas), doa saja yang baik baik. Yang baik kita jadikan teladan dan buruk pula sebagai sempadan. Saya tak boleh nak kata ya atau tidak, takut memakan diri. Biarlah ia terjadi tanpa perlu dipukul canang.

“Cuma seiring usaha memperbaiki diri, saya cuba jadi lebih baik daripada sebelum ini. Karakter saya dalam dunia hiburan masih sama seperti dulu.

“Pastinya setiap sudut kecaman dan kritikan itu saya akan nilai. Yang mana perlu dielak, saya akan cuba mengelaknya termasuk dalam soal imej diri. Saya tak pernah sempurna.

“Di luar konteks kerja seni hiburan, saya tetap manusia biasa yang mahu mencari keseimbangan hidup,” katanya yang berusia 25 tahun.

MK dilantik duta pusat akademik dan tuisyen PTTI baru-baru ini.

Mengenai serba serbi kisahnya yang menjadi ruang atau modal kecaman warganet, MK sudah mula terbiasa dengan rentak permainan sebegitu.

“Saya anggap rezeki dalam hal apa dikongsi di media sosial tular dan mendapat perhatian. Dikecam itu biasalah. Macam jadi duta PTTI pun saya dipertikai kerana dianggap tak layak. Mereka hukum saya tanpa tahu latar belakang akademik saya. Sampai ada anggap saya tak sesuai dek imej yang dipaparkan ketika menjadi artis.

“Apa lebih utama peranan itu buat saya jadi lebih bertanggungjawab. Saya sendiri dapat membentuk diri ini untuk menjadi lebih baik dan berdisiplin.

“Tapi rezeki tak pernah salah alamat. Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin,” katanya yang mengikat setahun kontrak bersama PTTI

MK akur dan sedar bukan senang memuaskan hati semua orang.

“Dalam hidup ini, saya percaya kita tak boleh nak senangkan atau memuaskan hati semua pihak. Ada yang suka dan sebaliknya. Yang menyukai kita pun belum pasti keikhlasannya. Tapi apa jadi hidup harus diteruskan.

“Macam saya katakan, mungkin imej atau cara saya pantas dihakimi. Iyalah saya tahu ada yang anggap saya menyerlahkan sisi ‘bad boy’. Dan sekaligus dilihat bertentangan dengan visi PTTI yang menekankan hal akademik,” katanya.

Penyanyi yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu Peluang Kedua dendangan Nabila Razali ini berkata, dia pada awalnya sedikit ralat dan sedih apabila ada yang mengecam serta mempertikai pelantikan berkenaan.

“Saya sendiri rasa ada calon lain yang lebih layak berbanding diri ini. Masa nak menerima lamaran PTTI ini pun saya ambil masa untuk menyatakan persetujuan

“Saya percaya PTTI ada sebab dan alasan tersendiri memilih diri ini. Saya percaya dengan adunan pencapaian akademik dan sedikit pengaruh saya, matlamat mereka untuk mendekatkan diri dengan generasi baru iaitu pelajar SPM boleh dicapai,” katanya

Ditanya mengenai latar belakang akademiknya, MK sebenarnya pernah mendapat keputusan cemerlang SPM yang didudukinya pada tahun 2013

“Saya mendapat 5A dan 3B dalam SPM. Saya pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2012 hingga 2015.

“Secara peribadi, saya anggap keputusan dan tahap pendidikan itu paling baik saya pernah capai. Saya percaya ada yang lebih bagus dan cemerlang.

“Ketika itu memang bersemangat membuktikan kepada keluarga yang saya boleh buat. Alhamdulilah ia menjadi kenangan manis untuk saya kenang,” katanya.

PTTI ada sebab memilih MK sebagai duta mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Fana berkata, mereka ada alasan konkrit memilih MK.

“Dalam hidup ini, kita pantas menghukum. ‘Dont judge a book by its cover’. Kami di PTTI ada sebab memilih MK.

“Umum tahu dia ada pengaruh besar dan hebat sebagai anak seni. Lihat saja bagaimana setiap entri di laman sosialnya mendapat perhatian dengan jumlah tanda suka dan tontonan ramai.

“Paling utama dia juga cukup cemerlang dalam bidang akademik. Mendapat keputusan SPM (5A dan 3B ) itu saya kira cukup hebat untuk anak muda berjiwa besar sepertinya,” kata Cikgu Fana. – MalaysiaGazette