KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan mendapat keuntungan jangka panjang dengan menarik keluar pemimpin-pemimpin daripada parti pembangkang untuk menyokongnya.
Sebaliknya, tindakan menarik keluar pemimpin-pemimpin daripada parti lain hanya dilihat sebagai survival demi memanjangkan jangka hayat PN sahaja.
Ini kerana ‘aktiviti lompat katak politik’ ini tidak membawa maksud yang PN dapat menarik sekali penyokong-penyokong akar umbi parti pembangkang untuk bersama mereka kerana rakyat yang mengundi pada Pilihan Raya Ke-14 memilih pemimpin berdasarkan kepada parti politik.
Penganalisis politik, Prof Awang Azman Awang Pawi yang mengulas perkara itu berkata, apabila berlakunya lompat parti, pemimpin-pemimpin yang beralih sokongan hanya mencetuskan kemarahan dan kebencian pengundi mereka.
Keadaan ini akan menyebabkan pemimpin yang melompat akan dihukum pada PRU nanti.
Menurutnya, walaupun lompat parti bukan satu kesalahan dari segi undang-undang kerana kebebasan berpersatuan tetapi isu ini perlu dilihat dari konteks etika dan moral serta adap berpolitik.
Tindakan lompat parti ini dengan jelas bertentangan dengan norma-norma prinsip seorang ahli politik yang berintegriti dan berprinsip.
Lantaran itu, tegasnya, aktiviti ini perlu ditangani melalui undang-undang agar suara rakyat tidak diperlekehkan dan amanah yang diberikan rakyat tidak disia-siakan.
“Perlu ada undang-undang lompat parti yang hanya membenarkan individu berbuat demikian tetapi bukan kerusi yang dimiliki oleh parti-parti tentu.
“Kaedah ini dapat mencegah ahli-ahli politik yang oportunis. Hendak lompat parti berdasarkan individu tidak mengapa tetapi bukan kerusi.
“Saya percaya jika undang-undang ini dibentuk, ia dapat kekang katak politik,” kata Awang Azman.
Mengulas pemimpin lompat parti yang dihadapi oleh PKR, beliau berpendapat, perkara ini sudah dijangkakan kerana 15 ahli PKR sudah menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan semuanya adalah dalam rangkaian Datuk Seri Azmin Ali.
“Perkara ini bukan mengejutkan atau sesuatu yang baharu kerana sudah lama dijangkakan. Kita tahu dalam PKR masih ada saki baki ‘orang Azmin’ di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Hanya tunggu masa yang sesuai dengan fasa keperluan politik semasa.
“Cuma yang menentukan mereka ialah sama ada mereka ini pemimpin berprinsip atau sebaliknya. Ini yang menentukan tindak tanduk mereka,” katanya.
Awang Azman menambah, meskipun PKR kehilangan pemimpin tetapi ini baik buat parti itu kerana yang tinggal sekarang adalah pemimpin yang setia kepada parti sahaja, sekali gus menjadikan PKR bebas daripada kartel atau kelompok pemimpin-pemimpin tertentu.
Malah, sitausi ini juga sepatutnya dijadikan pengajaran kepada PKR untuk memilih pemimpin dan wakil rakyat berintegriti dan berprinsip pada masa akan datang.
Selain itu, pembersihan ini sepatuntnya membuka laluan kepada pemimpin-pemimpin muda PKR yang setia dan berintegriti untuk mengambil alih kepimpinan dan memainkan peranan secara proaktif dalam parti.
“Saya kira ini membuka peluang dengan lompat parti ini boleh mengembalikan penyokong Pakatan Harapan pada PRU kerana adanya muka-muka baharu akan muncul dan mampu memadamkan kemarahan rakyat yang disebabkan oleh kartel politik yang melawan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Sama juga dgn UMNO..salah seorang yg tak berintegriti tu ialah Tok Pa..muka mcm org jujur…tp peranaaaaggggaaiiii serupa katak!
Org berintegriti sepatutnya tidak punyai rekod rendah moral dimahkamah?