Home Politik Hilang Ahli Parlimen: PKR mampu bertahan 

Hilang Ahli Parlimen: PKR mampu bertahan 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Pasar Moden Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2021.

SHAH ALAM – Meskipun PKR kini dilihat sedang berhadapan dengan krisis kehilangan sokongan daripada Ahli Parlimennya, namun Datuk Seri Amirudin Shari yakin parti itu mampu bertahan.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor itu menyifatkan apa yang sedang dialami parti berkenaan sebagai adat resam dalam politik yang perlu dihadapi.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pemimpin parti itu perlu teguh dengan pendirian untuk terus bersama-sama PKR.

“Sebelum tahun 2008 kita hilang Ketua Angkatan Muda, Timbalan Presiden hilang ramai pihak. Alhamdulillah parti ini terus maju sampai 2018.

“Ini resam dalam politik perlu lalui dengan sabar tapi kita harus firm (tegas) dan mengukuhkan tekad dan kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Moden Sri Muda di Seksyen 25 Shah Alam hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Xavier mengumumkan beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas yang  menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain Xavier, dua Ahli Parlimen parti itu iaitu Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Larry Sng Wei Shien (JUlau) membuat keputusan meninggalkan parti itu pada bulan lalu dan menyokong PN.

Ditanya mengenai mesyuarat PKR peringkat Kuala Langat yang diadakan semalam sejurus selepas pengumuman Xavier, Amirudin berkata, keputusan telah dibuat dan beberapa perkara perlu diperhalusi pada hari ini.

“Hari ini akan ada mesyuarat PKR di Hulu Langat, menemukan  semua Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita dan juga AMK.

“Malam tadi saya jumpa sekitar kepimpinan Biro Politik dan akan mengumumkan keputusan segera. Malam tadi ada keputusan tapi yang hari ini akan lebih baik perbincangan sebab mesyuarat dengan  Ahli Jawatankuasa Cabang,  Wanita dan juga AMK,” tambahnya.

Untuk rekod perjumpaan semalam diadakan secara tertutup bagi memastikan keutuhan organisasi parti dan menyusun program di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette