Home Ekonomi Jajaran ECRL dilanjutkan, langkah penting hubungkan dua pelabuhan – Pakar

Jajaran ECRL dilanjutkan, langkah penting hubungkan dua pelabuhan – Pakar

ECRL

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk melanjutkan jajaran asal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada 640 kilometer (km) ke 665 km adalah langkah penting kerana ia akan dihubungkan ke Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, kata seorang pakar.

Penyelidik pengangkutan awam, SM Sabri SM Ismail berkata, tanpa melanjutkan jajaran itu ke pelabuhan, ECRL tidak mempunyai sambungan langsung ke pelabuhan, oleh itu, semua kargo kargo harus berhenti di Jalan Kastam, kemudian dibawa dengan trak ke pelabuhan atau diangkut dengan kereta api KTM.

“Ada keperluan untuk projek tambahan untuk melanjutkan jajaran ECRL itu dari Jalan Kastam ke pelabuhan,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan bahawa jajaran tambahan akan merangkumi 30 km, iaitu 24 km dari Jalan Kastam (Pelabuhan Klang), ke Pelabuhan Barat dan 6.0km dari Jalan Kastam ke Pelabuhan Utara.

Wee berkata, ini adalah adalah sebab yang memerlukan kerajaan harus membina sebuah jambatan darat dan mengoptimumkan penggunaan kereta api kerana tujuan utama pembinaan ECRL adalah sebagai laluan kargo melibatkan 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang.

“Jadi kerajaan perlu memastikan ada pulangan keuntungan,” katanya.

Wee berkata, kejayaan ECRL bukan hanya mengenai kembali kepada jajaran asalnya tetapi dengan penambahbaikan dengan melalui Serendah dan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Barat dan Utara.

Kembali ke Jajaran Asal

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam respons kepada pertanyaan dari Bernama berkata, kembali kepada jajaran asal akan membolehkan pembinaan laluan pintas tolok meter dari Serendah ke Pelabuhan Klang untuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dimasukkan ke dalam penjajaran ECRL yang baharu.

“Laluan pintas itu akan menjadikan perkhidmatan kereta api KTMB lebih efisien kerana berfungsi sebagai saluran bantuan pengangkutan yang signifikan kepada KTMB yang ketika ini menghadapi kesukaran ketika melalui pusat perniagaan Kuala Lumpur (CBD).

“Isu kesesakan pengangkutan barangan juga menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan orang ramai kerana kargo KTMB yang mengandungi bahan berbahaya perlu melalui stesen KL Sentral dan Bank Negara,” kata pemaju projek ECRL itu.

MRL berkata hab kargo itu akan dapat memudahkan perhubungan kereta api yang lancar dari Serendah ke koridor ekonomi dan pelabuhan di Semenanjung Malaysia.

“Kesimpulannya, penjajaran baharu itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kargo ECRL,” katanya.

Kesan Ekonomi

Daripada sudut ekonomi, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jambatan darat nampaknya menjadi perkara yang paling penting kerana ia akan mengurangkan masa perjalanan untuk perdagangan antarabangsa.

“Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan, ia akan memudahkan industri berorientasikan eksport yang akan bermanfaat bagi sektor ekonomi seperti pembuatan dan perkhidmatan.

“Selain itu, ia memberi kesan kepada pasaran hartanah terutama di sektor yang berkaitan dengan ECRL,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, sektor pembinaan juga akan mendapat manfaat.

“Semakin cepat projek itu dilaksanakan, semakin baik untuk ekonomi. Sudah tentu, mematuhi garis masa dan anggaran kos ditetapkan juga penting untuk mengelakkan kemungkinan berlaku lebihan kos,” katanya.

MRL bersetuju dengan pendapat Mohd Afzanizam dan berkata jajaran ECRL baharu itu yang kini melibatkan jarak lebih jauh di Selangor iaitu landasan kereta api sepanjang 94 km akan meningkatkan hubungan di negeri tersebut, justeru memacu pertumbuhan sektor pembuatan dan perkhidmatan seterusnya menyumbang kesan ekonomi positif ke kawasan seperti Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, dan Pelabuhan Klang.

“Jajaran baharu juga akan mendorong kedatangan pelancong dan pertumbuhan pusat perniagaan di Bentong yang bakal menjadi bandar kedua di Pahang.

“Ia dijangka dapat meningkatkan pembangunan baharu dan perbandaran, serta memacu kegiatan komersial di daerah yang secara relatifnya baharu seperti Puncak Alam dan Kapar kerana kedua-duanya telah ditetapkan sebagai stesen ECRL pada masa depan,” kata MRL.

ECRL dijangka siap pada tahun 2026, ia telah siap 20.37 peratus setakat Januari, 2021 berbanding dengan jangkaan asal sebanyak 19.39 peratus.

Kemajuan projek Bahagian B (Dungun-Mentakab) melepasi sasarannya dengan 9.47 peratus siap berbanding sasaran asalnya iaitu 5.83 peratus. – MaAlaysiaGazette