Home Dunia China rancang bina stesen penyelidikan di kutub selatan bulan

China rancang bina stesen penyelidikan di kutub selatan bulan

BEIJING – China telah melakukan kajian program penerokaan bulan fasa keempat dan negara itu dijangka membina stesen penyelidikan antarabangsa di kutub selatan bulan pada masa depan, kata Ketua Pereka program penerokaan itu, Wu Weirin.

Pada temu bual dengan China Space News, Wu berkata, tiga misi dirancang untuk fasa keempat program penerokaan bulan.

Program tersebut meliputi pengambilan sampel bulan di kutub selatan oleh Chang’e 6, kajian sumber di kutub selatan yang lebih terperinci dilakukan Chang’e 7 dan ujian teknologi utama dalam persediaaan pembinaan stesen penyelidikan bulan oleh Chang’e 8, lapor agensi Xinhua.

Wu menjelaskan bahawa mungkin terdapat tempoh siang dan malam selama 24 jam dalam satu hari di kutub utara bulan, sama seperti yang dialami di kutub utara dan selatan di bumi.

Tempoh putaran bulan sama dengan tempoh putaran bumi, yang mana kedua-dua mengambil masa selama 28 hari.

Oleh itu, mungkin terdapat lebih 180 hari siang dan 180 hari malam di kutub selatan bulan yang mana ini mewujudkan persekitaran yang selesa kepada angkasawan untuk melakukan kajian saintifik.

Pada Selasa lalu, China dan Rusia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membina sebuah stesen penyelidikan saintifik di bulan.

Wu memberitahu, antara rangka kerja MoU itu, China dan Rusia mungkin menggunakan pengalaman masing-masing dalam sains, penyelidikan dan pembangunan angkasa dan peralatan serta teknologi mereka.

Kedua-dua negara akan mewujudkan pelan strategik untuk membina stesen penyelidikan bulan antarabangsa yang melibatkan kerjasama dalam perancangan, rekaan, pembangunan, pelaksanaan dan operasi projek itu, kata Wu – MalaysiaGazette