Home Dunia Singapura rancang buka semula sempadan akhir tahun ini

Singapura rancang buka semula sempadan akhir tahun ini

Lee Hsien Loong, foto BBC

SINGAPURA – Perdana Menteri Lee Hsien Loong berharap Singapura akan mula membuka semula sempadannya pada akhir tahun ini apabila lebih banyak negara meningkatkan vaksinasi terhadap jangkitan Covid-19.

Negara ini telah melarang perjalanan santai, tetapi sudah mengadakan beberapa program perjalanan perniagaan dan rasmi.

Ia juga membincangkan pengiktirafan sijil vaksin dengan negara lain.

“Saya harap jika banyak negara dapat melakukan vaksinasi kepada penduduk pada akhir tahun ini, kita akan dapat keyakinan dan membangunkan sistem untuk membuka sempadan antarabangsa kita supaya dapat melaksanakan perjalanan yang selamat sekali lagi.

“Mudah-mudahan pada akhir tahun ini atau tahun depan, pintu dapat dibuka, jika tidak lebih awal,” kata Lee dalam wawancara bersama BBC.

Penularan wabak Covid-19 di Singapura berada dalam kawalan dengan beberapa kes tempatan.

Singapura juga melaksanakan program vaksinasi selepas meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Setakat 8 Mac lalu, sebanyak 611,000 daripada 5.7 juta penduduknya telah menerima vaksin.

Ia mensasarkan untuk memberi vaksin kepada setiap orang pada akhir tahun ini.

Lee berkata, Singapura akan memujuk penduduknya masa untuk mengambil vaksin.

Ada dalam kalangan warganya ragu-ragu untuk mengambil vaksin kerana risiko jangkitan yang rendah dan kebimbangan akan kesan sampingan daripada vaksin.

Singapura juga telah menerima vaksin Sinovac Biotech daripada China sebelum mendapat kelulusan.

Lee berkata, Singapura sedang menilai vaksin itu dan akan menggunakannya jika ia memenuhi standard keselamatan dan keberkesanan. – MalaysiaGazette