ALOR SETAR – Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang diwujudkan pembangkang, tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang dalam menamatkan pelaksanaan darurat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 di bawah Ordinan Darurat yang mempunyai kuasa mengikut peruntukan undang-undang, untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sama ada darurat ditamatkan lebih awal atau pada tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Ogos depan, atau melanjutkannya.
“Mana-mana Ahli Parlimen pembangkang misalnya, gunakanlah wakil mereka (dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 untuk menyatakan pandangan), mereka ada wakil PKR, DAP, Amanah.
“Jadi gunakan wakil ini, kerana kita bagi peluang menunjukkan kerajaan ini telus, Ahli Parlimen kerajaan ada, Ahli Parlimen pembangkang ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai penubuhan badan bebas dikenali Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, yang melancarkan petisyen untuk memohon supaya darurat ditamatkan dengan segera.
Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan, Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yang diwartakan Jumaat lalu, membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secepat mungkin bagi menangani berita tidak benar berkaitan COVID-19 serta Proklamasi Darurat.
Beliau berkata, tanpa ordinan itu, pihak penguat kuasa perlu melalui prosedur biasa yang mengambil masa lama untuk menyiasat sesuatu kes berita tidak benar, di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (Datuk Saifuddin Abdullah) bahawa, sebelum ordinan ini dibuat pun hampir 300 kes (berita tidak benar) melibatkan aduan kepada polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), telah dibuat.
“Oleh kerana undang-undang yang ada ini memerlukan prosedur yang panjang, SKMM kena periksa siapa pemilik akaun (media sosial) dan sebagainya, jadi kadang kala memerlukan berbulan-bulan, tetapi dengan adanya ordinan ini, ia akan lebih cepat,” katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata, ada segelintir masyarakat yang mempunyai matlamat tertentu seperti dilakukan kumpulan anti vaksin, yang menyebarkan berita tidak benar dan mengelirukan mengenai vaksin COVID-19.
“Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk bawa masuk vaksin. Vaksin ini juga diluluskan oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), apa lagi yang kita nak bergantung, badan-badan kesihatan dunia mengesahkan vaksin ini baik, vaksin ini perlu.
“Tetapi ada pula yang mengatakan mengenai kesan sampingan dan sebagainya. Perkara seperti ini adalah contoh penularan berita tidak benar yang akan dikenakan di bawah ordinan ini,” katanya. – Bernama