Home Politik Akhirnya PN akan terbeban dengan pelbagai individu bermasalah – Khaled

Akhirnya PN akan terbeban dengan pelbagai individu bermasalah – Khaled

Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong kerajaan sekarang hanyalah strategi untuk menunda kejatuhan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, tiada pergerakan politik yang dibina dengan pendekatan tidak bermoral sebegini akan mampu bertahan.

Sebaliknya pengukuhan dan berkelangsungan pergerakan politik hasil kerja keras dan keyakinan pada nilai yang diperjuangkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berapa lama pun PN berusaha memanjangkan hayatnya, mereka akhirnya akan kembali kepada rakyat untuk menentukan masa depan.

”Mungkin PN lupa bahawa Malaysia dan rakyatnya telah jauh berubah. Pengundi Malaysia telah menjadi sangat ‘sofistikated’. Penilaian rakyat pastinya adalah pada wibawa dan harga diri pemimpin yang akan mewakili mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Buktinya, Barisan Nasional (BN) yang suatu ketika dulu lebih kukuh dan berkuasa daripada PN pun boleh ditewaskan oleh rakyat yang mempunyai pelbagai dimensi dan pertimbangan.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Johor itu menambah, PN sekarang menjadi perikatan dengan dukungan pelbagai individu bermasalah.

”Percayalah, mereka ini hanya ingin menyelamatkan diri mereka dan bukan PN. PN akan terbeban dengan masalah semua individu ini akhirnya,” ujarnya.

Lantaran itu, menurut Khaled tindakan BN untuk menjauhkan diri daripada semua ini adalah tepat kerana BN mahu menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya.

Sama sekali bukan PN dan sekutunya yang telah menjadi masalah kepada Malaysia, katanya. – MalaysiaGazette