Home Politik PM Pakatan Harapan kekal, bukan sementara – Tun M

PM Pakatan Harapan kekal, bukan sementara – Tun M

Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan perdana menteri yang dilantik sekiranya gabungan parti itu menang pilihan raya umum nanti, kata Tun Dr. Mahathir Moahmad.

Menurutnya, individu yang dilantik untuk jawatan itu akan kekal mentadbir kerajaan dan bukannya bersifat sementara.

Namun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memaklumkan calon tersebut masih belum diputuskan.

“Kita belum buat apa-apa keputusan, bukan ‘in-waiting’ atau ‘interim’.

“Perdana menteri bukan sebagai sementara, tetapi perdana menteri sebenar-benarnya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, PH mengumumkan senarai pimpinan tertingginya, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum sebagai ketua umum manakala Dr Mahathir menjadi pengerusi.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai presiden.

Sementara itu, mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa DAP dipinggirkan dalam barisan pimpinan tertinggi PH, Dr. Mahathir menafikan perkara itu dan sekali lagi menegaskan keempat-empat parti komponen dalam gabungan tersebut mempunyai kedudukan setaraf.

Dalam Pakatan Harapan katanya, keputusan dibuat secara konsensus dan juga suara majoriti.

“Dalam hal tertentu, kita terpaksa tentukan mengikut majoriti. Beberapa perkara yang diputuskan semalam juga diputuskan melalui majoriti,” katanya. – MalaysiaGazette