SEJAK setahun yang lalu akibat wabak COVID 19, kerajaan telah menjalankan undang
undang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenali sebagai PKP bagi tujuan menyekat penyebaran wabak ini berlaku. Kebanyakkan orang terpaksa bekerja dari rumah yang mana menghadkan lagi pergerakkan mereka. Apa yang lebih merisaukan lagi adalah aktiviti makan juga meningkat di mana dapur menjadi tempat kunjungan utama semasa berada di rumah.
Kaum ibu yang bekerja kini menjadi suri rumah dan mencuba pelbagai masakan. Manakala di media sosial terutamanya di laman Facebook, terdapat pertambahan
kumpulan memasak seperti Masak Apa Tak Jadi Hari ini menunjukkan kebanyakan
kaum wanita yang berada di rumah akan berusaha memasak demi memenuhi permintaan
anak-anak dan suami. Selain itu, pelbagai jenis makanan juga mudah didapati melalui
pesanan dalam talian dan penghantaran terus ke rumah.
Walau bagaimanapun, cara pemakanan yang berlebihan dan tidak sihat boleh
mengundang kepada kegemukan atau dikenali sebagai obesiti. Faktor lain seperti penggunaan gajet yang berlebihan menghadkan lagi pergerakan ramai individu serta limpahan makanan segera yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula adalah antara penyumbang utama kepada obesiti. Mengikut Centre of Disease Control, obesiti bermaksud seseorang yang mempunyai Kadar Jisim Tubuh lebih daripada 30. Kadar Jisim
Tubuh adalah ukuran berat seseorang yang dinisbahkan dengan tingginya. Seseorang yang gemuk mempunyai risiko untuk mendapat pelbagai penyakit metabolik seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung. Menurut National Health and Morbidity Survey 2019, 1 daripada 2 orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Obesiti juga meningkatkan pelbagai jenis kanser termasuk kanser usus, payudara, perut, hati dan esofagus. Kanser esofagus jenis adenocarcinoma semangkin meningkat seiring dengan peningkatan obesiti dan asid refluks, sejenis penyakit yang semakin banyak dihidapi oleh masyarakat masa kini.
Seseorang yang obes berisiko menghidapi masalah obstructive sleep apnea yang mana
pesakit boleh berhenti bernafas secara tiba-tiba kerana salur pernafasan tersumbat. Mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat sumbatan salur darah vena pada kaki (Deep Vein Thrombosis) dan ini juga boleh merebak ke bahagian paru-paru (Pulmonary embolism). Kedua-dua masalah ini boleh berlaku kepada pesakit obes yang terlantar di hospital sama ada kerana kemalangan atau jangkitan kuman.
Doktor yang merawat pesakit obes yang mengalami sakit perut (acute abdomen) juga
mengalami kesukaran semasa menjalankan pemeriksaan kerana keadaan dinding
abdomennya yang tebal. Walaupun kadang kadang usus sudah pecah atau abdomennya
dipenuhi nanah, sukar untuk ditentukan apabila pemeriksaan klinikal dibuat. Imbasan CT
Scan perlu dijalankan dengan segera bagi membantu doktor membuat diagnosis dan
menentukan rawatan kerana kesukaran menjalankan pemeriksaan pada badan pesakit yang obes.
Selain itu kesukaran akan dihadapi untuk memberi suntikan intravena dan rawatan
kecemasan apabila pesakit berada dalam keadaan kritikal. Bagi doktor pakar bedah yang merawat pesakit obes, pelbagai kesukaran terpaksa ditempuh bermula daripada prosedur pembedahan sehingga selesai pembedahan. Semasa proses pemindahan ke meja pembedahan, meja pembedahan bagi pesakit obes perlulah cukup besar untuk menampung pesakit sepanjang pembedahan bagi menjamin keselamatan pesakit
sepanjang proses pembedahan. Semasa pembedahan dijalankan, proses pembedahan bagi pesakit obes adalah lebih sukar kerana hirisan perlu dilakukan lebih dalam melalui lapisan lemak yang tebal dan lebih panjang.
Saiz organ yang lebih besar juga menyukarkan proses pembedahan dan memerlukan lebih tenaga. Doktor bius juga akan menghadapi masalah untuk memasukkan alat bantuan pernafasan sebelum pembedahan kerana leher yang pendek dan dipenuhi lemak, perlu diberikan ubat bius yang lebih tinggi dosnya dan proses untuk sedar semula lebih panjang, serta risiko angina, kekurangan oksigen dan strok kerana jantung
yang berada di bawah tekanan otot- otot interkostal (dada).
Obesiti boleh dielakkan dengan pengambilan diet yang betul dan seimbang. Konsep
suku-suku separuh dan menghadkan pengambilan gula dan karbohidrat serta pengambilan protein dan serat yang mencukupi adalan amalan diet yang digalakkan. Pengambilan air masak yang mencukupi 7 atau 8 gelas sehari serta aktiviti fizikal selama 30 minit setiap hari juga dapat membantu mengawal berat badan. Kita juga hendaklah mengelakkan diri daripada mengambil suplemen kerana kesan samping yang tidak diketahui. Pengambilan ubat suplemen yang berlebihan dan tidak dikawal boleh merosakkan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang.
Pada tahap obesiti yang tinggi iaitu pada tahap 3 dan 4 iaitu pada Kadar Jisim Tubuh
melebihi 40 serta mempunyai penyakit metabolik, pembedahan adalah pilihan terakhir jika berat badan tidak dapat diturunkan dengan cara senaman atau diet seimbang. Pembedahan bariatrik adalah pembedahan yang semakin popular di masa kini, walau bagaimanapun masih terdapat komplikasi pembedahan yang perlu dipertimbangkan dan pesakit masih perlu menjaga diet dan bersenam selepas pembedahan.
Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam kehidupan. Begitu juga dengan cara
pemakanan kita. Kita hendaklah mengambil makanan pada sekadar yang telah ditetapkan. Jangan terlalu banyak sehingga memudaratkan badan dan boleh mendatangkan penyakit pada badan. Kesederhanaan adalah budaya yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW. Budaya sederhana yang dianjurkan Islam sangat indah bagi melahirkan insan yang gemilang dan cemerlang. Menurut para ulama, kesederhanaan bukan bererti pertengahan semata-mata tetapi merupakan suatu kebaikan dan kelebihan kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya.
Memetik kata-kata alim ulama, kebaikan terletak di antara tengah-tengah
dua keburukan. Ini bermakna memilih untuk bersederhana adalah pilihan yang membawa
kepada kebaikan. Oleh itu, marilah sama-sama untuk memilih sifat sederhana dalam
pemakanan bagi mengelakkan obesiti serta penyakit lain. Wallahulam. Firman Allah SWT pada surah Al- Furqan ayat 67 bermaksud “Dan orang-orang yang
apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.
Ms Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur &
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, USIM.