SINGAPURA – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini dengan Brent melonjak hampir AS$70 setong.
Kenaikan ini dipacu oleh pemotongan output dari pengeluar utama dan optimis pemulihan permintaan ekonomi dan bahan bakar global pada separuh kedua tahun ini.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Mei naik AS$0.23 atau 0.3%, kepada AS$ 69.45 setong pada 0102 GMT.
Sementara harga minyak mentah West Texas Intermediate untuk April didagangkan kepada AS$65.90 setong, naik AS$0.29 atau 0.4%.
Pengeksport minyak terkemuka Arab Saudi telah mengurangkan bekalan minyak mentah untuk April kepada sekurang-kurangnya empat pembeli di utara Asia hingga 15%.
Pemotongan bekalan berlaku apabila Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC +, memutuskan awal bulan ini untuk melanjutkan pengurangan bekalan hingga bulan April.
Pelabur menjangkakan China akan mengumumkan data ekonomi positif pada hari Isnin, menyokong ramalan pertumbuhan yang lebih kuat bagi pengguna minyak kedua terbesar di dunia.
“Data China yang akan dikeluarkan pada hari ini akan berpengaruh,” tulis Michael McCarthy, Ketua Strategi Pasar CMC Markets di Sydney. – MalaysiaGazette