Home Politik Kerana kuasa, Tun M sanggup buat apa sahaja

Kerana kuasa, Tun M sanggup buat apa sahaja

Tan Sri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Langkah gabungan pembangkang dalam melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memcerminkan pembangkang sanggup buat apa sahaja untuk memerintah Putrajaya.

Menurut Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, pembangkang dilihat terdesak dengan menggabungkan Mahathir dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerana kuasa, mereka (Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) sanggup berbuat apa sahaja. Mereka hanya nak menang dan berkuasa malah sanggup buat apa sahaja.

“(Mahathir) sanggup tidur sebantal dengan DAP yang pernah mencemuh orang Melayu. Dulu mereka tidak kisah, sekarang mereka bersama-sama,” katanya dalam Majlis Makan Malam dan perasmian Bengkel Persediaan dan Simulasi Program Parlimen Mahasiswa 2017 hari ini.

Hadir sama Lembaga Pengarah Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Jelas Abdul Aziz lagi, rakyat jelas keliru dengan langkah gabungan itu yang melantik Mahathir selaku Pengerusi PH, sedangkan Anwar memegang jawatan tertinggi iaitu Ketua Umum PH.

“Anwar dimasukkan dalam penjara dan tuduh macam-macam, sekarang (mereka) baik semua semata-mata nak kejar kuasa,” katanya lagi.

Rabu lalu, PH mengumumkan logo mereka menentang Barisan Nasional pada PRU-14 kelak malah menetapkan penggunaan logo berkenaan pada kertas undi kelak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diberi jawatan Presiden, manakala Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Timbalan Presiden bersama-sama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Struktur baharu PH turut menyaksikan pelantikan tiga Naib Presidennya iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dan Chong Chieng Jen. -MalaysiaGazette