KUANTAN – Peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Tioman sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di situ dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri oleh sekumpulan pekerja dari Mersing.
Salah seorang pekerja tersebut dipercayai positif Covid-19 dan setibanya di Tioman mereka tinggal di sebuah chalet di Air Batang beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan sosial menyebabkan berlakunya jangkitan.
Sehingga kini 16 orang disahkan positif wabak tersebut.
Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek ketika dihubungi MalaysiaGazette tidak menolak kemungkinan jumlah kes positif Covid-19 itu akan meningkat selepas saringan secara menyeluruh terhadap kontak rapat dilaksanakan.
Menurut beliau, setakat ini tujuh orang telah dikenal pasti melakukan rentas negeri dan pihak berkuasa sedang mengumpulkan bukti-bukti berkaitan sebelum tindakan seterusnya dapat dikuatkuasakan.
Ditanya sama ada kesemua individu itu akan dikenakan kompaun, katanya, kerajaan negeri sememangnya mahu mengenakan kompaun maksimum terhadap kesemua yang terbabit.
Namun, menurut beliau, bukti-bukti wujudnya pelanggaran Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dimuktamadkan terlebih dahulu.
Beliau berkata, denda maksimum sememangnya perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melanggar SOP sehingga boleh mengakibatkan berlakunya penularan Covid-19.
“Kita masih menyiasat berapa ramai lagi yang merentas negeri dan jumlah yang merentas negeri akan dikompaun maksimum.
“Sehingga kini tujuh dipercaya merentas negeri namun jumlah sebenar yang akan dikenakan kompaun setelah siasatan selesai dijalankan oleh pihak PDRM,” katanya
Sementara itu, Ahmad Nasim meminta seramai 860 isi rumah di Pulau Tioman supaya tidak bimbang walaupun terpaksa menjalani PKPD kerana kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan termasuk makanan secukupnya kepada mereka. – MalaysiaGazette
Woi..mana aci mcm ni. Nak muktamadkan bukti bagai. Dah sah diorg punca merebak Covid tu, tanda ada sop yg dilanggar la.
Yang pakcik letak mask kat dagu, bleh pulak saman terus 10k tanpa muktamadkan bukti.