Home Dunia Teruskan guna vaksin Oxford-AstraZeneca – WHO

Teruskan guna vaksin Oxford-AstraZeneca – WHO

Penghantaran pertama vaksin AstraZeneca sudah tiba di Malaysia.

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak negara-negara untuk tidak menghentikan vaksin yang dihasilkan oleh Oxford-AstraZeneca.

Menurutnya, tidak ada bukti hubungan antara vaksin dan berlaku pembekuan darah kepada penerima vaksin tersebut.

Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol bergabung dengan negara-negara kecil untuk menghentikan vaksin tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sementara pemeriksaan dilakukan.

Pakar keselamatan vaksin WHO akan bertemu pada hari Selasa untuk membincangkan mengenai vaksin itu.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) akan bertemu pada hari yang sama dan akan membuat keputusan pada hari Khamis.

Setakat ini, EMA turut berkata, vaksin itu boleh terus digunakan.

Isu penggunaan vaksin Oxford-AstraZeneca tercetus selepas beberapa kes berlaku pembekuan darah oleh penerima.

Bagaimanapun, pakar berkata, kejadian yang berlaku itu tidak lebih daripada insiden pembekuan darah yang biasanya dilaporkan dalam populasi umum.

Kira-kira 17 juta orang di EU dan UK telah menerima dos vaksin, dengan kurang daripada 40 kes pembekuan darah dilaporkan pada minggu lalu, kata AstraZeneca.

Kementerian kesihatan Jerman mengumumkan akan menghentikan pemberian vaksin Oxford-AstraZeneca dengan segera, atas cadangan Institut Paul Ehrlich (PEI), pihak berkuasa negara mengenai vaksin.

Menteri Kesihatan Sepanyol, Carolina Darias berkata, penggunaan vaksin akan ditangguhkan di sana sekurang-kurangnya dua minggu.

Ireland, Portugal, Denmark, Norway, Bulgaria, Iceland dan Slovenia juga menghentikan inokulasi sementara dengan vaksin itu, sementara Congo dan Indonesia telah menangguhkan program vaksinasi mereka.

Beberapa negara Eropah, termasuk Austria, telah menangguhkan penggunaan sekumpulan vaksin itu sebagai langkah pencegahan.

Namun, Belgium, Poland, Republik Czech dan Ukraine akan terus memberikan vaksin AstraZeneca. – MalaysiaGazette

+ posts