KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan telah menguar-uarkan proses pendaftaran untuk penerima vaksin Covid-19 boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera namun masih ramai yang belum berbuat demikian.
Rata-ratanya yang masih belum mendaftar ialah mereka dalamĀ kalangan warga emas kerana tidak tahu cara mendaftar seperti Yah Abdullah.
Menurut warga emas berusia 70 tahun itu, beliau hanya berharap anak-anaknya untuk membantunya mendaftarkan dirinya sebagai penerima vaksin.
“Belum mendaftar lagi, tunggu anak-anak tolong daftarkan, mak cik tidak pandai,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, Yah juga bimbang kesan vaksinĀ ke atas kesihatan dirinya kerana beliau merupakan golongan berisiko.
“Kalau nak diikutkan memang nak dapatkan vaksin cepat tapi hati ada juga rasa takut sebab banyak penyakit. Ada kencing manis, darah tinggi, gaout. Takut risiko itu sahajalah. Tapi kalau okay untuk orang lain tiada masalahlah untuk mak cik,” katanya.
Begitu juga dengan warga emas seperti V. Kanavathy, 66, yang tidak tahu mengenai penggunaan telefon pintar.
Justeru beliau hanya menunggu anak-anaknya untuk mendaftarkannya sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi yang sama.
“Belum mohon lagi sebab saya tidak tahu. Anak saya yang akan buatkan. Tidak takut memang saya mahu divaksin. Cuma anak saya belum daftar lagi.
“Orang lain pun sudah divaksinkan, jadi tidak perlu takut,” jelasnya yang bersedia dan tidak sabar untuk menerima vaksin.
Namun ia berbeza dengan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman seperti Ferawati Akhirudin.
Meskipun masih belum mendaftarkan diri namun, wanita berusia 41 tahun itu yakin vaksin Covid-19 dicipta bukan untuk memudaratkan kesihatan.
Sebaliknya, menurutnya, ia bagi mengelak berlaku penularan dan langsung tidak mempercayai berita yang tular mengenai keburukan vaksin.
Namun beliau tidak menafikan, penularan berita yang tidak sahih sedikit sebanyak mencetuskan keraguan ramai pihak.
“Belum mohon lagi melaui MySejahtera. Memang tahu melalui itu tapi belum cuba mohon. Macam emak saya yang sudah lebih 70 tahun sudah daftar jadi kami yang lain kami anggap orang yang terakhir yang kena vaksin.
“Memang ada bimbang sebab berita banyak tentang vaksin tapi kita fikir tidak mungkin vaksin ini dibuat untuk memudaratkan kita jadi ada juga orang yang cakap vaksin cakap vaksin ini tidak memberi kesan.
“Macam saya sendiri hypertiroid jadi tidak tahulah bagaimana kesan vaksin dengan badan saya jadi saya akan minta pandangan doktor jugalah,” tambahnya.
Bagi anak muda seperti Najwa Kamal, 24, pula mengakui beliau baru sahaja mengetahui tentang pendaftaran vaksin yang mudah melalui MySejahtera.
Kesibukan kerja, katanya, sedikit sebanyak menyebabkannya kurang peka dengan berita berkenaan vaksin.
“Tidak daftar lagi. Sebab beberapa waktu ini tidak sempat sibuk. Jadi cara mohon baru sahaja tahu melalui MySejahtera, jadi senanglah.
“Setakat ini, kalau mengikut maklum balas orang yang sudah terima vaksin tiada masalah macam kakak saya, jadi saya tidak bimbang sebab vaksin ini satu faedah juga untuk kebaikan dan masa depan kita,” katanya lagi.
Malaysia kini berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan untuk memvaksinkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hinga April depan.
Fasa 2 imunisasi bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac yang dijadualkan bermula April hingga Ogos depan untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.
Sehingga kini, kerajaan mengesahkan seramai 1.4 juta individu didapati tidak melengkapkan pendataran mereka dengan lengkap untuk menerima vaksin Covid-19, menerusi aplikasi MySejahtera.-MalaysiaGazette