Home Pendapat Khaled perlu cermin diri, bukan menuduh membuta tuli

Khaled perlu cermin diri, bukan menuduh membuta tuli

Mohamed Khaled Nordin
Saudara Pengarang,
Dalam meniti usia 75 tahun tiba 11 Mei nanti, pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) kelihatan masih menggunakan naratif sama apabila berada dalam keadaan tertekan, terbaru apabila bertambahnya sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan.
Apabila ada pemimpinnya terutama yang menyandang kerusi di Parlimen atau DUN berhijrah menyertai parti lain,  maka lazimnya keluarlah bermacam-macam tuduhan dan dakwaan, malah rata-ratanya sekadar andaian yang selalunya tanpa bukti kukuh disertakan.
Masih segar kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan PN sebagai pakatan parti yang tidak stabil atau berdaya maju kerana menerima penyertaan Ahli Parlimen daripada parti lawan, tetapi ia hadir sebagai lelucon mungkin untuk menyedapkan hati sendiri.
Ditambahnya lagi, PN akan ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) yang diramal bakal diadakan dalam tahun ini.
Apa asas atau hasil kajian yang menyokong  semua andaian Mohamed Khaled itu? Andaian seorang pemimpin besar UMNO, bekas Menteri Besar Johor yang bukan sahaja ditolak oleh pengundi Parlimen Pasir Gudang pada PRU-14 tiga tahun lalu, malah tewas  juga bertanding di DUN Permas.
Tidak pernahkah beliau meletakkan UMNO di depan cermin’? Lupakah beliau berapa ramai pemimpin dalam parti yang tidak sudah-sudah mencanang mempunyai ahli paling ramai di Malaysia itu yang menjadi bebanan atau liabiliti?
Pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi UMNO sedang dibicarakan, ada tuduhan yang sudah disabitkan dan hukuman pun sudah dijatuhkan. Mana mungkin puluhan tuduhan yang dikenakan didakwa sebagai rekaan.
Jika benar ia rekaan, laluilah proses perbicaraan dengan tenang tanpa perlu mengulang-ulang, merintih simpati kononnya apa yang dihadapi mereka itu adalah tindakan balas dendam melalui konspirasi parti dan pemimpin lawan.
Perlukah dihujahkan kononnya mereka diheret ke mahkamah kerana enggan bersekongkol dengan parti kerajaan atau mungkin juga semua tuduhan itu hadir kerana mereka gagal memujuk pemimpin kerajaan untuk menggugurkan pendakwaan?
Yakinkah mereka yang majoriti rakyat akan terus beri sokongan kepada UMNO, parti mendokong pemimpin yang terpalit dalam dakwaan kes jenayah, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta pecah amanah.
Kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Ahmad Zahid Hamidi bukannya satu atau dua pertuduhan, tetapi ada puluhan. Di mana letaknya maruah Melayu jika pemimpin-pemimpin seperti ini terus disanjung dan diberi ruang dalam lingkaran kuasa di Malaysia?
Yakinkah Mohamed Khaled bahawa keputusan ramai Ahli Parlimen meninggalkan UMNO atau parti lain yang menjadi ‘rakan’atau bakal menjadi ‘rakan’ UMNO adalah disebabkan kepentingan diri, bukannya kerana hilang keyakinan kepada parti mereka atau Pakatan Harapan (PH).
Jika salah orang lain sahaja yang dicari, jika UMNO istiqamah dengan naratif lama dan enggan melihat kelemahan sendiri, enggan bermuhasabah serta kekal tidak berubah, salahkan diri sendiri andai ia menjadi tidak relevan dan ditolak pengundi pada PRU-15 nanti.
Ishak Hamid
Johor Bahru

 

+ posts

1 Komen

  1. Diorg bukan ada cermin kat rumah diorg. Cukur misai pun cermin kat air dlm tempurung. Biarlah puak puak ni siok sendiri. Jgn kita kacau diorg tgh mimpi indah2 tu.

Comments are closed.