KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digesa tampil menyatakan pendirian tegas dengan mengisytiharkan
terjemahan tepat bagi perkataan ‘God’ ke dalam bahasa Melayu seperti termaktub di dalam Akta 32, Bahasa Kebangsaan 1963.
Gabungan Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) berkata, penjelasan itu perlu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan mereka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan.
Isu ini timbul berulang kali menyebabkan keresahan dan kemarahan umat Islam dalam negara kerana rata-rata berpendapat terjemahan istilah ‘God’ ke bahasa Melayu adalah ‘Tuhan’ mengikut kamus bahasa DBP.
”Rakyat beragama Islam terutamanya, berpendapat salah guna istilah akan terjadi jika terjemahan yang salah dibenarkan sewenang-wenangnya. Mimpi ngeri melihat, contohnya “ Mari lah kita solat kepada Isa Anak Allah di Baitullah Katolik kita””. Walhal dalam doktrin agama Islam jelas dan tepat, Allah itu Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakan.
”Contoh penggunaan kalimah Allah dalam doktrin keagamaan yang lain seperti ‘trinity’ berbanding ‘Yang Esa’ boleh membawa kepada kekeliruan dan berbentuk penghinaan. Perkataan “Allah” menjadi kata nama khusus yang merujuk kepada sifat suci dan ketuhanan umat Islam.
”Bolehkah penganut Kristian di kalangan bangsa India mengunakan perkataan “Brahma” untuk God dalam kitab Injil apabila diterjemahkan ke bahasa Tamil? Sudah tentu tidak, kerana “Brahma” adalah nama khusus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin dalam kenyataan di sini.
Yang sebenarnya, menurut beliau, Bible asal bukan ditulis dalam bahasa Inggeris sebaliknya bahasa Greek, kemudian Latin.
Dan dalam bahasa Greek dan Latin tidak ada perkataan Allah.
Menurut ACCIN, apabila penganut agama lain ingin mengembangkan agama mereka dalam kalangan orang yang dijajah dengan slogan “For the Gospel and Gold”, mereka mengunakan perkataan Allah untuk Tuhan dalam kitab-kitab mereka.
Umpamanya di Mesir mereka bertutur dalam bahasa Arab dan Bible pun dalam bahasa tersebut.
Mohd Jamaludin memberitahu, pada tahun 2017 satu delegasi dari ACCIN pernah mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu kalimah Allah dengan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas ketika itu dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.
Pertemuan itu diadakan kerana ACCIN bimbang dengan keadaan semasa dan menyifatkan ketegangan masih belum reda ekoran isu kalimah Allah
”Ada kekeliruan dalam kalangan orang Islam dan beberapa denominasi Kristian, berpunca daripada tak mahu menerima keputusan mahkamah dalam kes The Herald,” katanya.
Sebagai pihak berkuasa bahasa Kebangsaan, DBP diharap tampil sekali lagi memberi penerangan kepada umum bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di negara ini.
Mengalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa seperti larangan menyebarkan agama lain kepada umat Islam dalam enakmen negeri-negeri.
”Dalam perjumpaan tiga tahun lalu, DBP memaklumkan bersedia untuk memberi penjelasan termasuk di mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian.
”DBP bersedia untuk tampil memberi penjelasan tentang isu ini apabila perlu dalam bentuk apa pun, sekiranya mahkamah panggil mereka sanggup nak pergi.
”Namun sehingga ini, perkara ini masih belum berlaku. Penjelasan ini semakin perlu hari ini memandangkan salah guna istilah boleh berlaku jika perkara ini tidak dibendung mengikut lunas Akta Bahasa Kebangsaan 1963,” ujarnya. – MalaysiaGazette