KUALA LUMPUR – Minat asing terhadap bon tempatan terus mengukuh pada Februari, bulan ke-10 berturut-turut yang menyaksikan pembelian bersih asing, walaupun terdapat lonjakan dalam hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), kata RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Hasil 10 tahun MGS melantun 39.5 mata asas (bps) kepada 3.07 peratus setakat akhir Februari, selepas hasil serantau meningkat seiring dengan kenaikan 10 tahun perolehan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).
“Aliran masuk bersih asing (ke dalam negara) bertambah kepada RM7.2 bilion pada Februari berbanding RM3.7 bilion yang dicatatkan semasa bulan sebelumnya, diterajui oleh pembelian MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), yang merekodkan jumlah sehingga RM5.6 bilion (Januari: RM3.1 bilion),” kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Memandang ke hadapan, ketidaktentuan yang membawa kepada pengumuman FTSE Russell (dijangka menjelang 29 Mac) mengenai status Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia boleh memberi kesan ke atas minat asing pada Mac,” katanya. – MalaysiaGazette