PETALING JAYA – Sebanyak 36 Ahli Parlimen PKR tetap akan bersama-sama dengan kepimpinan parti itu.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau yakin tiada lagi Ahli Parlimen PKR yang akan bertindak melompat parti selepas Naib Presidennya, Datuk Xavier Jayakumar berbuat demikian pada Sabtu lalu.
“Semua yang hadir mesyuarat hari ini walaupun tiga orang melalui Zoom di Sabah, Sarawak tapi penyertaan membanggakan.
“Ia sekali gus membatalkan tohmahan konon ada lagi yang diugut atau cuba dibeli untuk melompat.
“Saya sukacita kerana mereka ini kekal dengan idealisme perjuangan dan agenda reformasi dan satu tekad untuk membawa perubahan dalam negara,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Turut hadir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan beberapa kepimpinan tertinggi parti.
Pada Sabtu lalu, PKR menerima tamparan hebat apabila Xavier mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar parti itu berkuatkuasa serta merta.
Dalam pada itu, Anwar mendedahkan lima lagi Ahli Parlimen PKR diberi tekanan atau pelawaan untuk menarik sokongan mereka kepada kerajaan.
Beliau berkata, perkara berkenaan merupakan satu penipuan yang menggunakan salah guna kuasa untuk menekan Ahli Parlimen pembangkang.
“Ahli Parlimen Sekijang, Padang Serai, Sungai Siput, Putatan dan Miri memang sebut ada yang mereka beri ugutan atau pelawa dengan pelbagai sogokan dan umpan untuk menarik sokongan mereka.
“Saya nak tegaskan di sini, dengan menarik lima hingga enam orang ke Perikatan Nasional (PN) dia belum lagi mendapat majoriti,” katanya. – MalaysiaGazette