KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya mengkaji semula hukuman kompaun RM10,000 terhadap individu yang ingkar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Ini kerana kerajaan perlu ingat siapa yang mengangkat mereka untuk berkuasa di dalam negara ini, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak (DPIP), Mohammad Amirul Saharuddin.
“Apakah dengan denda RM10,000 itu benar-benar dapat mendidik rakyat supaya mematuhi SOP?
“Jika benar diyakini boleh mendidik, saya percaya kerajaan juga dapat mencadangkan akta lompat parti untuk mendidik kesemua wakil-wakil rakyat dari terus menerus membuat onar dan menjamin kestabilan politik dari terus dipermainkan oleh wakil rakyat yang hanya rakus soal kuasa tapi tak tahu nak bekerja demi rakyat.
“Pepatah ada mengatakan, kalau anak belajar dari apa yang ibu bapanya buat maka jangan salahkan rakyat kerana rakyat juga belajar dari apa yang dilakukan oleh wakil rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohammad Amirul berkata, amat menyedihkan apabila kehidupan rakyat umpama pepatah ‘habis madu, sepah dibuang’.
Ujarnya, rakyat diperlukan oleh calon bertanding ketika pilihan raya dengan dilayan penuh mesram namun, apabila berjaya meraih undi, hidup rakyat pula ditekan oleh wakil rakyat yang mereka undi.
“Jika kita masih ingat ketika waktu di bangku sekolah melakukan kesalahan pasti akan menerima hukuman denda dari guru. Antara denda yang sinonim didengari rotan tapak tangan, berdiri atas kerusi, keluar dari kelas dan sebagainya.
“Begitu juga waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini banyak undang-undang denda dikenakan kepada rakyat diwujudkan. Bermula dengan denda RM1, 000 hinggalah yang terbaru RM10,000 bagi mereka yang ingkar SOP,” ujarnya.
Kata beliau lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan denda adalah untuk mendidik rakyat bagi melandaikan kes harian Covid-19 namun terlupa untuk mendidik ahli-ahli politik sekali.
Tambah beliau, terbaharu apabila DAP Perak mengadakan mesyuarat yang dihadiri 1,500 ahli dan dilaporkan ia mengikut SOP ditetapkan dengan hanya 50 peratus kehadiran.
Jelasnya, tidak dinafikan duduk di dalam dewan sememangnya berjarak tetapi adalah sangat dikhuatiri apabila mereka keluar dari dewan itu atau bergambar yang sudah tentu penjarakan satu meter gagal dipatuhi.
“Apakah ahli DAP akan beratur keluar dari dewan satu baris demi satu baris keluar dewan seperti pelajar sekolah rendah. Sudah tentu mustahil.
“Jadi jika perkara sebegini terus disangkal oleh pihak kerajaan maka benarlah adanya isu layanan “dua darjat” kerajaan PN antara rakyat dan ahli politik,” kata beliau. – MalaysiaGazette