Home Nasional Polis cari 7 individu punca penularan Covid-19 di Pulau Tioman

Polis cari 7 individu punca penularan Covid-19 di Pulau Tioman

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan.

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi meneruskan usaha mengesan tujuh individu yang didakwa merentas negeri dari Mersing ke Pulau Tioman sehingga dipercayai menjadi punca peningkatan Covid-19 secara mendadak di pulau peranginan itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, ketujuh-tujuh individu tersebut merupakan orang perseorangan dan dari kumpulan daripada pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) yang mempunyai urusan di Pulau Tioman.

Jika sabit kesalahan, mereka yang telibat boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 sekiranya terbukti ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku.

“Memang kalau kita dapati mereka melanggar SOP Covid-19 ketujuh-tujuh ini dikompaun, mereka masih dikesan kerana kini mereka tiada di Tioman.

“Pada ketika ini mereka sudah tiada di Pulau Tioman dan polis masih menjejaki mereka dengan kaedah khusus.

“Hasil siasatan dilihat mereka ini berkemungkinan menularnya wabak ini di Tioman sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga terpaksa menyekat semua aktivit-aktiviti,” ujarnya.

Terdahulu,  Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek yang dihubungi baru-baru ini mengesahkan perkara tersebut dan sebanyak 16 individu terlah disahkan positif Covid-19.

Semalam, Pulau Tioman dikenakan PKPD berikutan peningkatan kes positif Covid-19 yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri oleh sekumpulan pekerja dari Mersing.

Salah seorang pekerja tersebut dipercayai telah dijangkiti Covid-19 dan setibanya di Tioman mereka tinggal di sebuah chalet beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan sosial menyebabkan berlakunya jangkitan.

Kerajaan Pahang serius dan komited mengenakan kompaun RM10,000 kepada individu terlibat setelah dikenal pasti yang merentas negeri dari Mersing ke Pulau Tioman. – MalaysiaGazette