Home Politik Santhara perlu diekstradisi ke Malaysia jika langgar protokol di New Zealand

Santhara perlu diekstradisi ke Malaysia jika langgar protokol di New Zealand

Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran serta yang lain menunjukkan memorandum berkenaan status pergerakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara ke New Zealand di Kedutaan New Zealand, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara perlu diekstradisi ke negara ini sekiranya didapati melanggar protokol imigresen di New Zealand.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, P. Prabakaran berkata, langkah itu perlu memandangkan negara tersebut sememangnya ketat dalam penguatkuasakan undang-undang Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Katanya, Kementerian Luar Negara New Zealand juga perlu menjelaskan tentang protokol yang digunakan terhadap Santhara sehingga beliau boleh berada di sana sejak beberapa hari lalu.

“New Zealand ini negaranya memang sangat ketat SOP. Ia hanya bagi orang yang PR (kerakyatan) untuk masuk ke negara itu dalam musim Covid-19 ini.

“Jadi, kita nak Kementerian Dalam Negeri di New Zealand bagi keterangan macam mana susunan dan protokol diberi untuk seorang timbalan menteri pergi ke sana.

“Saya rasa perkara ini tidak boleh dipandang rendah sebab beliau seorang ahli Parlimen dan juga timbalan menteri yang mempunyai banyak tanggungjawab yang penting di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Prabakaran bersama beberapa anggota AMK Wilayah Persekutuan menghantar memorandum ke Kedutaan New Zealand di Jalan Sultan Ismail di sini bagi menggesa kerajaan negara itu bertindak terhadap Santhara yang dikatakan telah berada di sana selama lebih 50 hari.

Santhara dikatakan telah mengambil cuti untuk ke negara tersebut dan perkara itu diluluskan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Prabakaran turut meminta Santhara menjelaskan bagaimana beliau menjalankan tugas dalam mempengerusikan mesyuarat Covid-19 di peringkat Wilayah Persekutuan sedangkan beliau bercuti dalam tempoh yang lama.

Ujarnya, tugas mempengerusikan mesyuarat itu sememangnya terletak di bahu Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa namun tanggungjawab itu telah diberikan kepada beliau.

“Tujuan saya hantar memorandum ini sebab saya gagal tanya di Parlimen berhubung perkara ini. Parlimen mula pun lepas darurat.

“Saya pertikai kelakuan Edmund Santhara. Ramai yang tidak tahu beliau mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat berkaitan Covid-19 di peringkat Wilayah Persekutuan ini. Jadi, saya mohon penjelasan daripada beliau,” tegasnya. – MalaysiaGazette