KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) pada lapan peratus bagi April 2021.
Menerusi satu pekeliling yang disiarkan di laman web Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkata kadar duti eksport sebanyak lapan peratus itu ditetapkan selepas harga pasaran MSM melepasi RM3,450 satu tan.
Malaysia, sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia mengira harga rujukan sebanyak RM4,331.48 satu tan pada April.
Struktur cukai eksport itu bermula pada tiga peratus bagi MSM dalam lingkungan RM2,250 hingga RM2,400 satu tan. Kadar cukai maksimum ditetapkan pada lapan peratus apabila harga melebihi RM3,450 satu tan.
Kadar itu akan berkuatkuasa mulai 1 April hingga 30 April 2021 iaitu lanjutan daripada kadar eksport sejak Januari 2021.
Mulai Jun hingga Disember 2020, eksport cukai itu ditetapkan pada kadar sifar untuk membantu meningkatkan nilai eksport sawit Malaysia ke negara-negara lain terutamanya India. Pengecualian duti eksportĀ turut bertujuan membantu menyokong industri komoditi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan untuk merangsang ekonomi ekoran pandemik COVID-19.
Kontrak niaga hadapan MSM ditutup rendah disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi, berdasarkan data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit, Semenanjung Selatan.
Bagaimanapun, pada Isnin harga komoditi itu mencapai RM4,247.50 satu tan, paras tertinggi dalam sejarah industri minyak sawit negara.- BERNAMA