KUALA LUMPUR – Tahap keberkesanan vaksin Comirnaty Pfizer sebanyak 94.6 peratus dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala.
Ia berdasarkan kajian klinikal fasa tiga yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa selama 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21 hingga 28 hari daripada dos pertama.
“Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin Comirnaty telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89 peratus keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan.
“Pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, perhatian perli diberikan terhadap peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang selepas dos kedua.
Ujarnya, kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin. – MalaysiaGazette